Anak yang baik mendengar kata. Bertuah ibu bapa yang ada anak mendengar kata. Tidak bantah. Tidak lawan. Saya selalu berfikir apa yang menyebabkan anak boleh mendengar kata ibu bapanya. Mengapa ada keluarga yang ramai anaknya boleh mendengar kata ibu bapa. Apa yang mereka 'buat' pada anak tersebut?
Petang tadi saya menjadi moderator di sekolah anak saya kepada seorang bapa dan tiga orang ibu yang anak mereka mendapat 5A UPSR 2012 dalam program bual bicara. Ramai juga ibu bapa tahun enam yang hadir. Ibu lebih ramai.
Seorang ibu menyatakan bahawa dia selalu berkata demikian kepada anak-anaknya:
"Ibu boleh buat apa yang bapa suruh, dan bapa tidak bantah apa yang ibu suruh. Jadi kamu mesti dengar apa yang ibu dan bapa kata". Satu logik yang menarik untuk difikir dan amalkan!
Secara berseloroh saya menambah, "bila bapa suruh ibu buatkan air kopi, ibu kenalah buat segera tanpa bantah. Tetapi bapa kenalah suruh pada masa yang sesuai. Jika ketika menyuruh itu ibu sedang asyik dengan sinematron Binar, Bening dan Berlian tentulah timbul masalah".
Mesej yang ingin disampaikan oleh ibu tersebut adalah; sebelum anak menjadi seorang yang mendengar kata, ibu dan bapa mestilah menunjukkan yang mereka juga sentiasa mendengar kata antara satu sama lain. Mana boleh anak sahaja yang kena dengar kata sedangkan kita sebaliknya.
No comments:
Post a Comment