Seorang bapa menelefon dan seorang lagi menemui saya di dalam bulan ini untuk memindahkan anak mereka ke sekolah kami. Antara kata-kata mereka yang saya ingat:
"Anak saya tidak belajar cikgu. Di rumah dia main motor sahaja. Saya hendak tempatkan dia di asrama. Sekolah sekarang terlalu hampir dengan rumah".
"Anak saya selalu keluar malam cikgu. Asramanya macam tidak ada kawalan oleh warden. Jaga selalu tidak ada di pos kawalan bila saya datang melawatnya di asrama".
Bapa yang punya anak main motor sahaja itu seperti telah hilang keupayaan untuk membimbing anaknya. Dia mengambil keputusan memindahkan tugas membimbing anaknya kepada warden asrama. Dengan harapan anaknya boleh dibimbing. Bagaimana agaknya jika anaknya itu tinggal di asrama, bolehkan dia mematuhi peraturan asrama. Siapakah yang boleh menegurnya? Bapanya sendiri tidak upaya. Bolehkan warden membimbingnya? Bolehkan dia bangun subuh dan berjemaah di surau? Bolehkah dia berada di atas katilnya jam 12.00 malam. Tidur cepat supaya esok tidak mengantuk di dalam kelas. Tidak duduk di gerai makan atau di dalam tandas menghisap rokok?
Bapa yang satu lagi menguatkan teori saya bahawa hanya anak yang berdisiplin sahaja yang untung tinggal di asrama. Jika anak kita disiplinnya longgar eloklah kita jaga sendiri. Di depan mata. Apa yang dia buat kita nampak. Boleh tegur dan nasihat. Jika dia keluar malam, bapa boleh cari. Jika dia hisap rokok, bapa tahu. Boleh kejutkan dia supaya solat subuh. Atau jalan akhirnya, beri hukuman. Besar bezanya hukum seorang bapa banding dengan hukum seorang warden.
Apa pandangan tuan/puan?
No comments:
Post a Comment