doa anak dari quran

doa anak dari quran

doa anak

~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, peliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~

Thursday, October 17, 2013

DENDA CIKGU

Hari semalam saya menerima panggilan telefon daripada cikgu anak saya. Dia beritahu anak saya tidak sihat dan baring di bilik rawatan. Saya bergegas ke sekolah anak dan mengambilnya di bilik rawatan. Saya lihat ada tiga orang guru atau pekerja perempuan di dalam bilik itu. Ada minuman dan makanan juga. Mungkin bilik itu tempat rehat guru atau kakitangan. Satu strategi yang baik. Pelajar tidak sihat yang baring di katil akan sentiasa diawasi oleh guru atau kakitangan.

Saya mengejutkan anak. Dia beritahu yang dia pening kepala dan muntah. Saya agak anak saya ini alah kepada burger yang dimakan pada malam sebelumnya di sebuah restoran makanan segera yang terkenal. Apabila saya menyakat dia tentang makan burger dan air gas di restoran tersebut sudah dua kali dia mengalami keadaan yang sama dia menafikannya dengan keras. 

Semasa saya berjalan dengan anak dari bilik rawatan ke kelas untuk mengambil beg, saya melalui sebuah kelas yang saya lihat ada seorang budak yang duduk bersila di atas lantai di depan kelas sambil menulis. Pelajar-pelajar yang lain begitu tekun menyudahkan kerja masing-masing. Keadaan kelas sangat terkawal. Tidak ada pelajar yang bising dan berjalan-jalan. Saya yakin guru yang mengajar pada masa itu sangat komited terhadap tugas beliau. Dia seorang yang sangat bertanggung jawab terhadap tugasnya. Tidak membiarkan murid yang malas. Saya agak budak yang bersila di depan kelas itu tidak menyiapkan kerjanya. Mungkin hukuman itu akan menjadi pengajaran yang sangat berkesan kepada dia. Tidak akan malas lagi pada masa depan.
Namun hati saya sangat tersentuh dengan keadaan budak itu pada masa itu. Bagaimana perasaan dia agaknya? Di mana harga diri dia pada masa itu? Saya tidak ada jawapan kepada soalan-soalan ini. Saya cuma boleh nasihatkan diri saya dan ibu bapa yang lain supaya ambil berat terhadap anak kita supaya sentiasa menyiapkan kerja yang diberi oleh guru yang komited terhadap tugasnya. Terima kasih cikgu!

Tuesday, October 1, 2013

PMR

Hari ini bermulanya PMR. Ada anak yang berdebar-debar. Ada ibu dan ayah yang juga berdebar-debar. Baguslah. Itu tandanya kita ambil berat.
Ada ayah dan ibu yang ambil cuti hari ini hantar anak ke pintu dewan periksa. Bagi semangat kepada anak. Perlu usaha. Ada anak yang benar-benar memerlukan sokongan moral daripada ayah dan ibunya. Ada anak biasa saja. 
Doakanlah anak-anak kita berjaya!