doa anak dari quran

doa anak dari quran

doa anak

~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, peliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~

Wednesday, December 11, 2013

TAK DAPAT ASRAMA PENUH

Keputusan permohonan ke asrama penuh sudah diketahui. Ada ibu bapa yang sangat gembira kerana anak yang dapat UPSR 5A berjaya. Ada juga anak yang 5A tetapi tidak berjaya.

Mungkin anak juga mempunyai perasaan yang sama. Gembira dan bangga jika terpilih. Sedih jika gagal.

Patutkah kita berebut tempat di asrama penuh? Apakah kita tidak berupaya membimbing anak di rumah? Saya berpendapat, bagi ibu bapa yang berada dan berkelulusan universiti berilah peluang belajar di asrama penuh itu kepada anak dari keluarga tidak berada.

Saturday, November 30, 2013

TEORI KIT KAT

Semalam saya ke kedai selepas solat Jumaat sebagai rutin mingguan membeli komik untuk anak. Kemudian kami ke pasar raya mencari barang makan. Anak saya desak beli kit kat. Saya lihat harganya hampir dua belas ringgit. Saya cadangkan padanya beli snickers yang berharga tiga ringgit. Saya beli sedikit buah. Kami balik selepas mendapat keperluan masing-masing.

Hari ini saya ke pasar raya Mydin.  Saya mendapatkan barang-barang keperluan harian yang murah banding tempat lain. Berhampiran dengan kaunter bayar saya lihat kit kat dijual pada harga sepuluh ringgit. Mengingatkan permintaan anak saya di pasar raya semalam, saya membeli dua paket coklat berkenaan.

Semasa membayar, harga kit kat itu sembilan ringgit sahaja. Sampai di rumah anak saya begitu tajam matanya nampak bungkusan mengandungi kit kat. Dia bertindak sebagai akauntan membahagikan kit kat kepada semua ahli keluarga. Dia dapat tujuh unit manakala orang lain dapat lima unit sahaja. Saya juga dapat.

Dia mendesak memberikan bahagian saya kepadanya. Saya kata boleh. Satu kit kat sepuluh makna perkataan bahasa Inggeris. Mulanya dia teragak-agak untuk menyahut cabaran ini. Kakaknya segera bersetuju dengan cabaran saya menyebabkan dia bersetuju juga. 

Hari ini anak saya menulis lima belas perkataan. Sepuluh bagi kit kat pertama. Lima sahaja bagi kit kat kedua.


Thursday, October 17, 2013

DENDA CIKGU

Hari semalam saya menerima panggilan telefon daripada cikgu anak saya. Dia beritahu anak saya tidak sihat dan baring di bilik rawatan. Saya bergegas ke sekolah anak dan mengambilnya di bilik rawatan. Saya lihat ada tiga orang guru atau pekerja perempuan di dalam bilik itu. Ada minuman dan makanan juga. Mungkin bilik itu tempat rehat guru atau kakitangan. Satu strategi yang baik. Pelajar tidak sihat yang baring di katil akan sentiasa diawasi oleh guru atau kakitangan.

Saya mengejutkan anak. Dia beritahu yang dia pening kepala dan muntah. Saya agak anak saya ini alah kepada burger yang dimakan pada malam sebelumnya di sebuah restoran makanan segera yang terkenal. Apabila saya menyakat dia tentang makan burger dan air gas di restoran tersebut sudah dua kali dia mengalami keadaan yang sama dia menafikannya dengan keras. 

Semasa saya berjalan dengan anak dari bilik rawatan ke kelas untuk mengambil beg, saya melalui sebuah kelas yang saya lihat ada seorang budak yang duduk bersila di atas lantai di depan kelas sambil menulis. Pelajar-pelajar yang lain begitu tekun menyudahkan kerja masing-masing. Keadaan kelas sangat terkawal. Tidak ada pelajar yang bising dan berjalan-jalan. Saya yakin guru yang mengajar pada masa itu sangat komited terhadap tugas beliau. Dia seorang yang sangat bertanggung jawab terhadap tugasnya. Tidak membiarkan murid yang malas. Saya agak budak yang bersila di depan kelas itu tidak menyiapkan kerjanya. Mungkin hukuman itu akan menjadi pengajaran yang sangat berkesan kepada dia. Tidak akan malas lagi pada masa depan.
Namun hati saya sangat tersentuh dengan keadaan budak itu pada masa itu. Bagaimana perasaan dia agaknya? Di mana harga diri dia pada masa itu? Saya tidak ada jawapan kepada soalan-soalan ini. Saya cuma boleh nasihatkan diri saya dan ibu bapa yang lain supaya ambil berat terhadap anak kita supaya sentiasa menyiapkan kerja yang diberi oleh guru yang komited terhadap tugasnya. Terima kasih cikgu!

Tuesday, October 1, 2013

PMR

Hari ini bermulanya PMR. Ada anak yang berdebar-debar. Ada ibu dan ayah yang juga berdebar-debar. Baguslah. Itu tandanya kita ambil berat.
Ada ayah dan ibu yang ambil cuti hari ini hantar anak ke pintu dewan periksa. Bagi semangat kepada anak. Perlu usaha. Ada anak yang benar-benar memerlukan sokongan moral daripada ayah dan ibunya. Ada anak biasa saja. 
Doakanlah anak-anak kita berjaya!

Tuesday, September 24, 2013

BAGAIMANA TARIK MINAT ANAK BACA BUKU BAHASA INGGERIS

Membaca bukanlah pilihan utama bagi kebanyakan anak kita. Jika kita ada anak yang rajin membaca bersyukurlah kepada Allah kerana memberi kita anak seperti itu. 
Menggalakkan anak membaca buku bahasa Inggeris adalah satu cabaran yang lebih getir. Ibu bapa mesti ada banyak cara untuk pikat dan galakkan anak mereka. Ibu bapa yang ada idea dan pengalaman dalam hal ini boleh menghantar komen di sini. Boleh kita baca bersama. 
Ini cara saya cara saya untuk anak lelaki saya berumur 9 tahun
  • ajak dia ke kedai buku sekerap yang mungkin
  • pujuk dia ke bahagian cerita bahasa Inggeris
  • biar dia cari buku yang dia suka
Kaedah saya ini mendorong anak saya menyukai buku Geronimo Stilton seperti ini:



Buku ini ada gambar dan tulisan warna. Walaupun dia tidak faham 100% apa yang dia baca, saya lihat dia sudah menguasai banyak perkataan di dalam buku ini. Dia juga boleh memahami jalan cerita buku tersebut. Paling saya seronok dia minta beli buku yang lain pula!

Wednesday, September 18, 2013

PMR BANYAK A

Ada keluarga yang anak mereka banyak dapat A. Ada pula A anak mereka telah diambil oleh anak orang lain!
Jika kita hendak anak kita dapat banyak A, bantulah mereka ulangkaji sekarang. Masih sempat lagi. Bimbinglah mereka menjawab soalan-soalan tahun lepas sebanyak yang mungkin. Banyak soalan boleh dimuat turun dari web site yang ada. Boleh cari dengan google.
Ada anak semangat untuk jawab soalan ini berkobar-kobar bila masa sudah terlalu suntuk. Eloklah kalau ibu bapa boleh cepatkan semangat anak ini. 
Selalulah manjakan anak yang hendak periksa ini. Layan lebih sedikit makan minum mereka. Yang duduk asrama keraplah bawa makanan untuk mereka.
Selamat berjuang! Anak dan ibu bapa!

Thursday, September 12, 2013

PERATURAN ASRAMA

Ibu bapa eloklah ambil berat peraturan asrama anak jika anak duduk di asrama. Antara peraturan asrama yang biasa adalah memakai baju rasmi asrama bila hendak balik rumah dan balik semula ke asrama. Warden tidak terdaya untuk pantau semua pelajar mematuhi peraturan ini. Ibu bapalah orang yang paling senang untuk menegur anak yang tidak memakai baju asrama. Jika anak tidak boleh mematuhi peraturan yang mudah ini, bagaimana dia hendak mematuhi peraturan-peraturan yang lain?

Saturday, September 7, 2013

AKTIVITI IBU BAPA DENGAN SEKOLAH ANAK

Sekali sekala sekolah anak kita akan memanggil kita berjumpa dengan guru. Ada ibu bapa boleh datang dan ramai yang tidak dapat datang. Biasanya dalam perjumpaan ini berbagai cerita mengenai anak kita boleh dapat daripada guru. Ada cerita bagus dan ada juga cerita tak berapa bagus. Ada cerita biasa saja. Di sini juga ibu bapa boleh mendapat cerita mengenai kemajuan pelajaran anak mereka. Disiplin anak mereka. Kekuatan anak dan apa-apa hal yang kita hendak tahu tentang anak bila mereka ada di sekolah. Dari cerita ini bolehlah kita mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk bimbing dan bantu anak dalam pelajaran. 

Ibu bapa kena tahu apa pelajaran yang anak mereka belajar. Bila anak akan hadapi peperiksaan. Tentulah agak terlambat jika ibu bapa baru tahu yang anak mereka akan periksa esok.

Di dalam perjumpaan seperti inilah biasanya perkara-perkara ini akan diberitahu oleh sekolah. Jadi datanglah!

Saturday, August 31, 2013

BUAT CEPAT

Ada anak boleh buat kerja dengan cepat. Cepat bangun tidur. Cepat solat. Cepat buat kerja rumah. Tidak bertangguh.

Ada pula anak yang lambat. Lambat solat. Lambat buat kerja rumah. Lambat kemas bilik. Lambat pergi sekolah. Banyak bertangguh.

Bagaimana ibu bapa boleh bantu ubah kebiasaan anak dari lambat kepada cepat? Ini penting kerana kebiasaan ini akan 

Friday, August 30, 2013

BUAT BAIK

Bagaimana ibu bapa boleh menyampaikan maksud kata-kata di bawah ini kepada anak supaya mereka dapat menghayatinya?

Kalau buat benda baik, pasti akan ada keburukan mengikutinya. Kalau buat jahat, pasti tiada kebaikan mengikutinya. Kalau tanam padi, pasti lalang akan tumbuh bersama. Tapi kalau tanam lalang, tidak mungkin padi akan tumbuh juga.

Tuesday, August 20, 2013

PERIKSA DAPAT BANYAK 'A'

UPSR, PMR & SPM semakin hampir. Bagaimana ibu bapa boleh meningkatkan keyakinan mereka (ibu bapa) bahawa anak yang akan mengambil peperiksaan nanti boleh mendapat banyak A? Jika kita tidak yakin yang anak kita boleh dapat A, apa pula keyakinan anak kita? Jemput beri pandangan....

Monday, July 29, 2013

DIDIK ANAK - BERNIAGA

Mengapa ramai dari kita tidak berniaga? 

Masa kecik dulu keluarga tidak ajar kita berniaga. Masa sekolah kita tidak belajar berniaga. Setelah ada kerja kita tidak berniaga. 

Jika hendak lihat anak berniaga, berilah peluang dan ajar mereka berniaga. Bagaimana caranya?

Saturday, July 20, 2013

DIDIK ANAK - DISIPLIN HARIAN

Saya jumpa tulisan yang sangat bagus di satu blog. Tulisan tersebut adalah:

Pastikan anak sampai awal ke sekolah.  Ada ibu bapa tidak ambil kisah perkara ini, akhirnya anak didenda pengawas sekolah. Denda berdiri di depan perbarisan. Ini pasti mengganggu emosi anak dan lama kelamaan mereka mula ponteng sekolah kerana takut atau malu masuk sekolah lambat.

Jejaki anak kita selepas sekolah.  Kebanyakan sekolah harian, waktu persekolahan tamat tengahari sedangkan ibubapa bekerja hingga jam 5 petang. Dalam beberapa jam tanpa kawalan itu, anak boleh lakukan pelbagai perkara.  Jika terpengaruh dengan rakan jahat, rosaklah akhlak mereka.

Sesekali lakukan pemeriksaan mengejut dengan balik ke rumah awal untuk pastikan aktiviti anak.  Cuba jejaki di mana anak kita berada dan siapa kawan mereka.  Ini membolehkan anak tahu yang kita ambil tahu dan sayangkan mereka.

Pastikan mereka hadir ke sekolah, kelas tuisyen dan kelas agama.  Sibukkan diri anak selepas waktu persekolahan dengan menghantar mereka ke kelas tuisyen dan kelas agama.  Ini membolehkan kita tahu di mana mereka. Kita perlu semak dengan guru tuisyen dan agama sama ada anak kita hadir atau tidak.  Jangan percaya bulat-bulat apa yang disampaikan anak kepada kita.

Semak beg dan laci anak.  Sesekali cuba semak beg dan laci anak dan tengok apa ada di dalamnya. Kita mungkin boleh jumpa pemetik api, rokok dan sebagainya. Mereka mungkin juga memiliki sesuatu yang bukan milik mereka.  Langkah awal adalah langkah pencegahan yang boleh menyelamatkan mereka.

Pastikan mereka siapkan tugasan dan kerja sekolah. Tanya ada kerja atau tidak. Jangan terlalu percaya apabila anak berkata tiada kerja rumah diberikan guru.  Lama-kelamaan anak terbiasa dengan tidak menyiapkan kerja sekolah. Ini akan membuatkan mereka tidak faham apa yang dipelajari dan keputusan peperiksaan merosot.

Aturkan masa belajar dan masa rehat.  Didik mereka konsep pengurusan masa.  Mereka perlu tahu waktu belajar, main, menonton tv, berinternet, beribadah dan santai.  Tanpa panduan ibu-bapa sukarlah untuk anak mengaturnya.  Sebab lain anak lain perangainya.

Latih anak dirikan solat di awal waktu.  Ajak anak solat subuh berjemaah. Lebih bagus jika di mesjid. Disiplin anak bermula dengan bagaimana mereka mengerjakan solat. Jika suruhan Allah dilewatkan dan diabaikan, sukar mereka mematuhi suruhan manusia.  Biasakan anak mengutamakan kepentingan solat ini.  Lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.

Selalunya anak yang bermotivasi lebih mudah untuk berdisiplin.

Friday, July 19, 2013

DIDIK ANAK - BEG SEKOLAH

Hari ini Sabtu, sekolah anak saya ada sekolah ganti. Saya ambil peluang ini untuk hantar anak ke  sekolah kerana bercuti. Hari bekerja tugas ini adalah di bawah bidang kuasa isteri.


Semasa sampai di sekolah perbarisan telahpun bermula. 7.15 pagi semua guru sudah ada di depan. Hari ini pelajarnya tidak ramai. Anak saya arahkan saya hantar beg dia ke kelas. Dia perlu berbaris segera. Saya bawa beg ke kelas. Tidak sampai 10 beg ada dalam kelas. Ramai pelajar tidak hadir hari ini. Sekolah ganti. 

Dalam perjalanan saya ke kereta, saya bertembung dengan dua orang pelajar lelaki adik beradik. Mereka lebih lambat dari anak saya. Tergesa-gesa. Adiknya memikul beg yang lebih besar dari badannya sendiri. Langsung tidak ada ceria di wajahnya. Mungkin beg itu agak berat untuknya. Saya percaya berat beg itu boleh dikurangkan dengan adanya tayar. Jika kita boleh beli sport rim dan tayar nipis untuk kereta kita, belilah juga tayar beg anak kita.

 

Saturday, July 13, 2013

DIDIK ANAK - PERATURAN

Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibu bapa yang membuat peraturan, disiplin dan galakan kepada anak. Buatlah peraturan yang menjadikan dia solat, mengaji, berdisiplin, rajin, jujur, hormat orang lain dan sebagainya.

Thursday, July 11, 2013

DIDIK ANAK - DOA UNTUK ANAK

Saya jumpa satu tulisan yang sangat bagus untuk dibaca oleh ibu bapa. Doakan anak kita. Dalam bulan Ramadhan ini doakan setiap malam.

Doanya:

~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, Perliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~

Boleh baca tulisan seterusnya di sini:

http://nurnisri.blogspot.com/2011/02/cara-mendidik-anak.html

DIDIK ANAK - BERCAKAP

Bagaimana mengajar anak kita bercakap seperti yang disebut di dalam Al-Quran?

 

Monday, July 8, 2013

DIDIK ANAK - PINTU TANDAS

"Abah, pintu tandas sekolah saya dah pasang. Besi", beritahu anak saya semalam.

Memang sekolah anak saya telah lama tandasnya tidak ada pintu. Pintu 'original' telah pecah berderai. Plastik. 

Dalam mesyuarat PIBG ditimbulkan perkara ini.

"Mengapa pintu tandas tidak ada?" soal seorang bapa. 

"Takkan kita mendidik anak kita seperti ini". 

Kasar bunyinya. Saya cepat-cepat angkat tangan dan bersuara, "senang aje tuan-tuan, kita pungut RM10 seorang daripada penjaga. 500 orang dah dapat RM5,000. Boleh kita pasang pintu baru. Buat yang besi". Tidak ada bantahan. 

Senang hati saya dengan laporan anak saya ini. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana anak-anak membuang air besar atau kecil di dalam tandas yang tidak ada pintu. Kesian.

Perkara ini saya percaya berlaku di banyak sekolah. Termasuk sekolah saya. Sebab itu saya cadang pintu besi. 


Thursday, July 4, 2013

MENDIDIK ANAK - DUDUK ASRAMA

Seorang bapa menelefon dan seorang lagi menemui saya di dalam bulan ini untuk memindahkan anak mereka ke sekolah kami. Antara kata-kata mereka yang saya ingat:

"Anak saya tidak belajar cikgu. Di rumah dia main motor sahaja. Saya hendak tempatkan dia di asrama. Sekolah sekarang terlalu hampir dengan rumah".

"Anak saya selalu keluar malam cikgu. Asramanya macam tidak ada kawalan oleh warden. Jaga selalu tidak ada di pos kawalan bila saya datang melawatnya di asrama". 

Bapa yang punya anak main motor sahaja itu seperti telah hilang keupayaan untuk membimbing anaknya. Dia mengambil keputusan memindahkan tugas membimbing anaknya kepada warden asrama. Dengan harapan anaknya boleh dibimbing. Bagaimana agaknya jika anaknya itu tinggal di asrama, bolehkan dia mematuhi peraturan asrama. Siapakah yang boleh menegurnya? Bapanya sendiri tidak upaya. Bolehkan warden membimbingnya? Bolehkan dia bangun subuh dan berjemaah di surau? Bolehkah dia berada di atas katilnya jam 12.00 malam. Tidur cepat supaya esok tidak mengantuk di dalam kelas. Tidak duduk di gerai makan atau di dalam tandas menghisap rokok?

Bapa yang satu lagi menguatkan teori saya bahawa hanya anak yang berdisiplin sahaja yang untung tinggal di asrama. Jika anak kita disiplinnya longgar eloklah kita jaga sendiri. Di depan mata. Apa yang dia buat kita nampak. Boleh tegur dan nasihat. Jika dia keluar malam, bapa boleh cari. Jika dia hisap rokok, bapa tahu. Boleh kejutkan dia supaya solat subuh. Atau jalan akhirnya, beri hukuman. Besar bezanya hukum seorang bapa banding dengan hukum seorang warden.


Apa pandangan tuan/puan?

Friday, June 28, 2013

MENDIDIK ANAK - DENGAR KATA

Anak yang baik mendengar kata. Bertuah ibu bapa yang ada anak mendengar kata. Tidak bantah. Tidak lawan. Saya selalu berfikir apa yang menyebabkan anak boleh mendengar kata ibu bapanya. Mengapa ada keluarga yang ramai anaknya boleh mendengar kata ibu bapa. Apa yang mereka 'buat' pada anak tersebut?

Petang tadi saya menjadi moderator di sekolah anak saya kepada seorang bapa dan tiga orang ibu yang anak mereka mendapat 5A UPSR 2012 dalam program bual bicara. Ramai juga ibu bapa tahun enam yang hadir. Ibu lebih ramai.




Seorang ibu menyatakan bahawa dia selalu berkata demikian kepada anak-anaknya:

"Ibu boleh buat apa yang bapa suruh, dan bapa tidak bantah apa yang ibu suruh. Jadi kamu mesti dengar apa yang ibu dan bapa kata". Satu logik yang menarik untuk difikir dan amalkan!

Secara berseloroh saya menambah, "bila bapa suruh ibu buatkan air kopi, ibu kenalah buat segera tanpa bantah. Tetapi bapa kenalah suruh pada masa yang sesuai. Jika ketika menyuruh itu ibu sedang asyik dengan sinematron Binar, Bening dan Berlian tentulah timbul masalah". 

Mesej yang ingin disampaikan oleh ibu tersebut adalah; sebelum anak menjadi seorang yang mendengar kata, ibu dan bapa mestilah menunjukkan yang mereka juga sentiasa mendengar kata antara satu sama lain. Mana boleh anak sahaja yang kena dengar kata sedangkan kita sebaliknya.

Sunday, June 23, 2013

MENDIDIK ANAK - DOA IBU BAPA

Ajarlah anak doakan kita. Jika Allah terima Alhamdulillah. Doa itu menanam perasaan kasih sayang anak kepada kita. Doa itu menandakan anak kita mempunyai keyakinan di dalam dirinya yang dia sayangkan ibu bapanya. Apa lagi yang lebih berharga dari itu!
Ini adalah poster majalah Aulad. Anak saya akan demand dengan saya setiap kali lepas Solat Jumaat beli majalah. Mulanya saya berkira juga. Memang kita selalu berkira. Lebih-lebih lagi jika bajet boleh lari. Bila fikir semula, tak apalah. Asalkan buku, ikut sahaja kehendaknya.
Poster ini saya suruh dia tampal di dinding rumah. Bila dia lalu saya suruh dia baca. Targetnya sampai dia boleh hafal. 
Doa ini mengajar anak kita selalu minta ampun daripada Allah. Mohon Allah ampunkan dosa ibu bapanya. Sedar bahawa dia diberi didikan oleh ibu bapanya. Alangkah indahnya! Mudahnya mengajar anak berdoa! Betul ke?

Saturday, June 22, 2013

MENDIDIK ANAK - RIADAH

Taman Gelora Kuantan diuruskan oleh MPK. Tahniah kepada Majlis Perbandaran Kuantan yang menyediakan kemudahan riadah kepada rakyat. 


Pagi tadi saya mengheret kaki yang sangat berat untuk ke Taman Gelora. Mengikut isteri. Seberat manapun saya telah bertekad untuk riadah 2 kali seminggu. Aktiviti ini seolah-olah mengecas bateri kereta yang sudah letih kerana bekerja seminggu. Ada masanya saya jauh tinggal di belakang isteri kerana beliau begitu konsisten dengan langkahnya banding dengan saya. Isteri saya jogging/walking setiap hari di sini. Jika boleh, ingin saya pusing semula jam untuk mulakan aktiviti ini 10 tahun dulu. Tidak ada halangan untuk tidak melakukannya. Percuma. Tempatnya sudah disediakan oleh kerajaan. 

Sungguh seronok melihat ibu bapa yang membawa bersama anak kecil mereka riadah. Boleh jadi anak-anak ini akan rapat dengan ibu bapa mereka kerana telah biasa melakukan riadah bersama. Bermacam aksi boleh digayakan bersama anak. Bebas melakukannya. Beberapa gelagat yang sempat saya rakam:


Orang yang jauh lebih senior dari sayapun turut riadah.

MENDIDIK ANAK - HINDAR PENGARUH ROKOK

Tahniah kepada ibu dan bapa yang anaknya tidak merokok. Mesti ada prinsip-prinsip yang diamalkan di dalam keluarga yang menghindar anak dari merokok. Bapa tidak merokok. Bapa hanya merokok di luar rumah. Bapa tidak pernah suruh anak beli rokok. Tanda larangan merokok ditampal di dalam rumah. Anak diajar bahawa tidak perlu merokok untuk nampak hebat. Dua keturunan sudah membuang rokok. Atau lain-lain amalan yang lebih berkesan.
Tengah malam tadi saya menerima sms dari seorang bapa yang menceritakan beberapa orang pelajar saya pekena syisya di Taman Gelora. Bagaimana nak buat? Saya percaya ini adalah perkara yang menjadi cabaran kepada ramai ibu bapa dan pengurusan disiplin sekolah. Mohon pendapat.

Wednesday, June 19, 2013

MENDIDIK ANAK - CONTOH KELUARGA PENEROKA BERJAYA

Ini tulisan lama saya. Recycle untuk renungan. Saya tulis Friday, July 23, 2010.

Contoh Keluarga Peneroka Berjaya Mendidik Anak Dalam Pendidikan

Hujung minggu saya sekeluarga balik kampung ke rumah ibu. Peluang yang ada di ajak oleh ibu mengunjungi jirannya. Memang telah lama saya tidak ke rumah jiran tersebut. Rumahnya telah berubah menjadi besar dan cantik. Silingnya saja telah berubah menjadi seperti siling yang terdapat di hotel-hotel.

Tapi bukan perubahan rumah itu yang menarik perhatian saya. Perkara yang menarik perhatian saya adalah gambar lima orang anaknya yang digantung tersusun pada dinding menerima ijazah masing-masing. Tinggal anak bongsu seorang sahaja lagi yang belum tergantung gambar seperti itu. Masih terlalu segar di ingatan saya bagaimana anak-anak ini dibesarkan di dalam kepayahan seorang peneroka pada tahun 80 an dan 90 an. Adik beradik yang selalu bergaduh, merajuk di bawah rumah dan sebagainya. Ada diantaranya yang disakat oleh adik saya supaya mandi dengan tepung jika inginkan kulit yang putih! Dalam gambar di dinding itu budak perempuan tersebut begitu ayu dan bergaya dengan ijazah yang digenggamnya.

Saya tertanya-tanya apakah prinsip yang diamalkan oleh keluarga ini yang di dalam kepayahan mereka boleh membesarkan anak-anak yang berjaya ke universiti dan mempunyai kerjaya masing-masing. Ibu dan bapa bukanlah orang terpelajar yang boleh memberi tution kepada anak mereka. Saya cuba menangkap apa yang dibualkan oleh jiran tersebut dengan ibu saya mengenai pendidikan anak-anak mereka.

"Saya tidak pandai untuk memberi tunjuk ajar dan mendisiplinkan anak. Jadi saya hantar mereka ke asrama. Jika di rumah mereka menjadi pemalas, bermain motor dan sebagainya. Di asrama ada peraturan".

Kata-kata itu terus mengingatkan saya kepada pelajar-pelajar saya yang berada di asrama sekolah saya. Tambahan pula anak sulung jiran ini pernah bersekolah di sekolah saya. Memang betul asrama ada peraturan. Tetapi yang terlintas di kepala saya adalah aduan seorang ibu pelajar tingkatan 3 yang anaknya didapati merokok bahawa di dalam bilik anaknya yang seramai 12 orang cuma 3 orang sahaja tidak merokok!

"Hujung minggu saya selalu ke asrama mereka membawa makanan sambil menjenguk mereka".

Saya percaya inilah perkara yang sangat besar faedahnya yang perlu dilakukan oleh ibu bapa seperti ini terhadap anak-anak mereka. Menunjukkan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak.

Elok jika kita dapat membaca dan menghayati apa yang ditulis di dalam Mingguan Malaysia 25 Julai 2010 mengenai perkara ini.

Selipar 'fung keong' dan pos laju

''Kadang-kadang sebagai ibu kepada seorang anak lelaki, saya harus uruskan benda yang pelik-pelik. Contoh terbaik minggu lepas saya pos laju tali pinggang. Hari ini saya pos laju selipar Jepun pula.
''Perkara ini berlaku sebab anak lelaki saya belum sampai 'level of responsibility' yang saya harapkan dan saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan saudara terdekat.
''Namun saya terus berdoa supaya janganlah satu hari nanti saya perlu pos laju seluar dalam pula.''
Catatan diari seorang ibu perihal anak lelakinya berusia 14 tahun yang kini bersekolah di Ipoh, Perak.
Dia dikurniakan empat cahaya mata, tiga perempuan dan seorang lelaki yang juga anak sulung dalam keluarga. Rutin berulang-alik ke Ipoh bermula awal tahun ini. Anaknya masuk asrama semasa tingkatan dua. Selain Kuala Lumpur-Ipoh, dia juga selalu berulang-alik ke pos laju.
Catatan diarinya tidak berhenti di situ.
''Hari ini budak pos laju nak tengok pula barang yang nak dipos, terpaksalah tunjuk selipar Jepun fung keong depan orang ramai (terglamor seketika, semacam kedengaran siren ambulans di luar pejabat pos mahu mengambilku selepas diserang penyakit malu tahap 4).''
Sempat dia bergurau dalam catatannya sendiri. Sememangnya seorang ibu tidak pernah malu untuk berbuat apa saja untuk anaknya.
Dia memanjangkan lagi notanya. Dikhabarkan di sekolah anaknya tidak disediakan perkhidmatan dobi. Semasa bulan-bulan pertama, baju yang disidai di ampaian terbiar berhari-hari tidak berangkat. Akibatnya baju tersebut hilang. Paling tragis (istilah yang dia gunakan), baju-baju tersebut dikutip oleh warden yang kemudian menjualnya dengan RM2 sehelai.
''Bayangkan duit sekolah buat beli baju sendiri.''
Dimanjakan
Luahan itu memang bukan perkara baru bagi ibu bapa yang mempunyai anak tinggal di asrama terutamanya anak lelaki.
Lebih-lebih lagi jika anak itu biasa dimanjakan, apabila melalui cubaan hidup berdikari pada usia mentah maka terjadilah insiden-insiden hilang barang sampai kadangkala macam tak terjangkau dek akal.
Dalam hal ini, terfikir juga wajarkah seorang anak yang baru berusia 13 tahun dihantar ke asrama. Rasanya terlalu awal memisahkan seorang anak dengan adik-beradiknya yang lain. Tidak mustahil kelak akan menjadi punca kerenggangan hubungan lantaran bersua muka sebulan sekali atau hanya ketika cuti sekolah. Sebab itu ada ibu bapa mengeluh anak yang dihantar ke asrama pada usia terlalu muda mempunyai karakter tersendiri. Tidak begitu gemar bergaul dengan adik-beradik, pendiam dan sedikit mementingkan diri. Adakalanya mereka lebih senang bersama rakan-rakan berbanding menghabiskan masa bersama keluarga. Pernah juga kedengaran, ada anak bersikap demikian kerana memprotes dalam diam lantaran terlalu awal dipaksa berpisah dengan ibu bapa.
Teringat kisah seorang teman. Dia dihantar ke asrama ketika tingkatan satu. Bapanya berkongsi cerita bagaimana ibunya setiap hari bengkak mata gara-gara tidak dapat menahan rindu. Lebih daripada itu memikirkan anak perempuan yang selama ini makan bersuap dan tidur bawah ketiak terpaksa menguruskan diri sendiri. Lama juga keadaan seperti itu berlarutan, akhirnya selepas setahun, anak itu dikeluarkan dari asrama dan bersekolah tidak jauh dari rumah.
Adakah ibu bapa terlalu mementingkan impian sendiri sehingga sanggup mengorbankan perasaan dengan alasan untuk melihat anak berjaya sedangkan hakikatnya anak itu tidak bersetuju diperlakukan sedemikian. Atau pun sememangnya banyak kelebihan menghantar anak ke asrama supaya mereka boleh belajar berdikari. Seorang bapa memberitahu, dahulunya dia juga tinggal di asrama seawal usia 13 tahun. Oleh kerana dia daripada keluarga miskin, maka selepas hari pertama dihantar ke asrama, ibu bapanya tidak pernah menjenguk. Jadual balik kampung bulanannya juga tidak pernah dipenuhi. Dia menghabiskan masa di asrama. Lima tahun begitu. Kemudian menyambung pengajian di universiti, tetapi dia tidak pernah melupakan keluarga jauh sekali mahu berkecil hati lantaran tahu dia menjadi harapan keluarga.
Mungkin agaknya dalam membuat penilaian sama ada menghantar anak ke asrama atau tidak, ibu bapa boleh berbincang. Pandangan anak biar pun baru berusia 13 tahun tidak boleh diketepikan. Tetapi dalam kes rakan yang menjadi pengunjung tetap pejabat pos, antara dia dan anak sememangnya rela berpisah. Si anak mahu tinggal di asrama, namun harapan ibu untuk melihat dia berdikari terlalu awal untuk dipenuhi. Jadi perjalanan ke Ipoh akan diteruskan, manakala kerani-kerani di pejabat pos bakal menjadi kenalan

Tuesday, June 18, 2013

MENDIDIK ANAK - AJAR BACA QURAN

Dulu di rumah saya ada pengalaman kanak-kanak belajar membaca Al-Quran selama 5 tahun. Isteri saya menerima anak saudara beliau belajar membaca Quran kerana kami tinggal satu taman. Kemudian ramai jiran-jiran menghantar anak ke rumah kami. Penuh ruang tamu. Bagi kita yang berkira tentang keselesaan, memang terganggu dengan karenah kanak-kanak. Bising, barang hilang, barang pecah, terberak pun ada. Oleh kerana ianya berkaitan dengan Quran, saya bersabar ajalah. Lama-lama sayapun tumpang mengajar kanak-kanak tersebut. Saya juga memasang radio yang memperdengarkan Quran 24 jam di rumah saya itu.

Ada beberapa kanak-kanak berumur 2-3 tahun dihantar ke rumah kami. Yang menarik perhatian saya adalah seorang yang mula membaca Iqra'. Paling banyak dia boleh menyebut 3 huruf. Selepas itu dia akan mendongakkan mukanya ke siling dan hanya mengikut sahaja sebutan saya tanpa memandang ke buku Iqra'. Saya berfikir bagaimana budak ini boleh mengenal huruf jika dia berkelakuan begini setiap kali mengaji. Keadaan ini berlanjutan sehingga setahun. Agaknya dia boleh hafal sawang yang ada di siling rumah kami. 

Selepas setahun, budak ini boleh meningkatkan kemahirannya dari buku Iqra' 1 ke buku seterusnya dengan mudah. Saya percaya jika dia terus belajar mengaji setelah kami pindah, dia tidak ada masalah untuk membaca Quran.

Pada pendapat saya, jika kita hendak anak kita pandai membaca Quran, ajarlah dia. Jika dia menunjukkan kelakuan seperti budak tadi, sabarlah. Setahun, dua tahun atau berapa tahunpun, jika kita sabar mengajarnya, InsyaAllah dia akan boleh mengenal dan membaca Quran.

Dengan bantuan perkakasan yang ada di pasaran seperti pen digital Quran, atau tab Quran, atau handphone Quran tentu kaedah mengajar anak menjadi lebih mudah. 

Contoh perkakasan yang ada di Youtube:

https://www.youtube.com/watch?v=ANmwivrT6cY

https://www.youtube.com/watch?v=ejjf15HBLUk
https://www.youtube.com/watch?v=dQhqibBUKLw

Sunday, June 16, 2013

HOSPITAL KERAJAAN

Kita sungguh bertuah kerana rawatan di hospital kerajaan percuma. Peralatan bagus. Apa saja teknologi baru yang ada boleh dibeli oleh kerajaan. Jika swasta tentulah kena tengok kunci kira-kira dulu. Kepakaran boleh ditingkatkan ke peringkat dan bidang apa sekalipun. Hantar doktor yang ada ke mana tempat yang boleh mereka belajar. Kami kakitangan kerajaan sungguh senang hati kerana sepanjang hayat boleh mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan. Juga kemudahan ini dipanjangkan kepada ahli keluarga.

Namun, cerita yang dikutip dari blog malay rights ini membuatkan saya berfikir : http://malayrights.blogspot.com/2013/06/hospital-kerajaan-lembab-salah-siapa.html

Hospital Kerajaan Lembab Salah Siapa?

Saya adalah rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana berasal dari Kelantan. Rata-rata ahli keluarga serta sanak saudara saya berpendapatan rendah dan sederhana.

Kami tergolong dalam golongan masyarakat luar bandar. Rata-rata ahli keluarga kami dan sanak saudara kami adalah pengundi BN. Keterujaan dan kesetiaan kami kepada BN tidak perlu dipertikaikan lagi. Kami menghargai dan kami menyanjungi kerajaan yang ada kerana ianya banyak membantu kami golongan luar bandar.


Tujuan saya menulis surat ini bukan untuk menyalahkan Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri , Menteri berkenaan atau BN. Saya hanya ingin memberitahu dan meminta kerajaan memperbetulkan masalah yang berlarutan sejak sekian lama dan seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.


Pada tanggal 4.Jun.2013, pakcik saya telah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM). Beliau dimasukkan kerana melalui satu surat rujukan daripada sebuah klinik swasta kerana sakit dalam bahagian perut.


Pakcik saya ditempatkan di Wad 2 Intan. Doktor telah melakukan X Ray keatas beliau. Setelah ditanya oleh ahli keluarga doktor menjelaskan bahawa terdapat bubble di bahagian usus pakcik saya. Semasa di dalam wad ada masanya pakcik saya sakit dengan kuat, ada masa sakit sederhana dan ada masa sakitnya hilang. Tetapi tiap-tiap hari beliau akan sakit.


Selepas dua hari di hospital ahli keluarga masih belum mengetahui apa penyakit pakcik saya. Adakah ianya kanser, ada ketumbuhan  atau penyakit lain ? Doktor hanya berkata tidak dapat dipastikan lagi, melainkan jika dilakukan CT Scan. Kami memohon kepada doktor agar dilakukan CT Scan. Doktor menjawab tidak boleh kerana mereka perlu mengutamakan pesakit lain. Tak mengapalah, kami menunggu.


Hari demi hari berlalu tiada apa-apa perubahan yang berlaku. Setiap hari pakcik saya sakit. Perutnya makin membuncit. Akhirnya pada tanggal 10.Jun.2013 kami ahli keluarga sepakat untuk discaj pakcik saya dari HUSM dengan risiko sendiri.


Dari HUSM kami membawa pakcik saya ke sebuah hospital pakar swasta di Kota Bharu. Tujuannya untuk melakukan ujian CT Scan supaya kami dapat tahu apa penyakitnya. Setelah dibawa ke hospital swasta dalam masa 2 jam sahaja kami telah mengetahui penyakitnya. Doktor mengatakan ada satu benda seolah-olah ketumbuhan yang wujud berhampiran ususnya. Jika mahu dilakukan pembedahan ianya boleh dilakukan keesokkan harinya iaitu pada 11.Jun.2013. Kosnya lebih kurang RM 20,000.00. Kami tiada pilihan melainkan setuju. Soal kos kami sanak saudara sumbang sedikit seorang.

Hasil pembedahan yang dilakukan pada pagi 11.Jun.2013 doktor berjaya mengeluarkan hampir 1 liter nanah dibahagian usus pakcik saya. Dalam masa beberapa jam sahaja pakcik saya stabil dan kini telah ditempatkan di wad biasa.

Enam hari di HUSM tiada apa-apa perubahan yang berlaku. Dalam masa 24 jam dipindahkan ke hospital swasta segalanya berubah.


Apakah nasib yang akan menimpa pakcik saya jika beliau terus berada di HUSM ? Tidak mustahil beliau akan kehilangan nyawa.


Kami bernasib baik kerana kami dapat kumpulkan wang sumbangan dari sanak saudara untuk membiayai rawatan pakcik saya. Bagaimana pula dengan nasib orang-orang yang tidak berkemampuan ? Adakah mereka terpaksa menggadaikan nyawa di hospital kerajaan kerana mereka tidak punyai wang ?


Saya pun buntu dalam hal ini. Untuk salahkan kerajaan tidak boleh kerana kerajaan telah berusaha sedaya mungkin menolong rakyat dalam urusan kesihatan.


Nak salahkan pihak hospital juga tidak boleh kerana mereka juga menghadapi banyak masalah , seperti kekurangan doktor, kekurangan peralatan , bilangan pesakit yang terlalu ramai  dan sebagainya. 


Akhirnya nyawa rakyat yang menjadi mangsa.


Perkara ini bukan perkara baru. Ianya telah berlarutan sejak zaman berzaman. Satu kaedah atau satu jalan penyelesaian baru harus dicari untuk menyelesaikan masalah ini. 


Saya selalu terfikir, alangkah bagusnya jika pelajar-pelajar saya ramai yang menjadi doktor di hospital kerajaan.  

REHAT MINDA SIHAT TUBUH DI TAMAN GELORA

Penduduk Kuantan sungguh bertuah kerana Majlis Perbandaran Kuantan membina trak jogging yang sungguh cantik. Tepi pantai. Di bawah pokok ru. 

Ada sebuah pentas yang setiap hari digunakan oleh 'sifu' mengajar senaman berirama. Mendapat sambutan dari semua kalangan masyarakat; Cina, Melayu, India dan lain-lain. Sungguh harmoni. Memang berpeluh habis murid-murid yang mengikutnya. Agaknya sifu ini akan mengambil tempat seawal jam 6.30 pagi dan biasanya berakhir jam 8.00 pagi.

Hari ini saya sampai jam 8.30 pagi. Pentas itu telah diambil oleh beberapa perempuan bertudung yang memasang lagu joget. Juga mendapat sambutan dari semua kalangan masyarakat. Agaknya pasukan dari agensi kerajaan yang menguruskan kemajuan penduduk. Mereka mengedarkan beg kepada orang ramai. Tidak tahu pula apa kandungannya.

Sebagai rutin akhir saya jogging di sini, saya dan isteri akan berbaring di laluan berbatu. Terasa menyucuk di belakang dan otot-otot. Ada juga hari-harinya kami datang jam 6.00 petang. Batu-batu ini masih panas seperti bertungku. Memang merehatkan!