doa anak dari quran

doa anak dari quran

doa anak

~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, peliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~

Friday, November 20, 2009

punca kanak-kanak 'memberontak'

punca kanak-kanak 'memberontak'


Susunan FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN utusan malaysia
Meragam atau 'memberontak' adalah salah satu sifat semula jadi yang ada pada kanak-kanak namun ada kala sifat ini menimbulkan kerunsingan dan kemarahan orang sekeliling terutama ibu bapa sendiri.
Bagi mengawal tabiat tersebut ibu perlu menggunakan pendekatan terbaik dan bersesuaian dengan jiwa si kecil iaitu dengan mengenalpasti apa pencetus kepada sikap mereka itu.
Seorang pakar psikologi yang juga penulis buku No More Meltdowns, Jed Baker, menggariskan enam punca utama yang kenapa kanak-kanak meragam dan cara mengatasinya.
1. Isu biologi
Kebanyakan kanak-kanak bertukar menjadi cepat marah apabila mereka lapar atau letih. Cara penting mengelakkan situasi itu adalah dengan membekalkan makanan ringan digemarinya dalam perjalanan, sementara menunggu untuk makan di restoran.
Bagi mengelakkan kanak-kanak terlalu letih juga, pastikan mereka mendapat rehat mencukupi sebelum keluar rumah dan jangan terlalu lama berkunjung ke sesuatu tempat. Kanak-kanak akan lebih mudah bertolak ansur apabila di dalam jadual perjalanan yang diatur, mereka turut dibawa ke taman rekreasi.
2. Kekurangan aktiviti
Ketiadaan aktiviti yang boleh dibuat dalam tempoh masa lama juga menyumbang kepada sikap 'memberontak' kanak-kanak. Jika ibu bapa tidak menentukan sebarang aktiviti untuk anak-anak, mereka akan menciptanya sendiri yang akan mewujudkan ketidakpuasan ibu bapa. Sediakan bahan teka-teki, permainan, projek seni, buku, video dan aktiviti yang dapat mengurangkan ketegangan kanak-kanak menunggu.
3. Kehendak
Kebanyakan kanak-kanak akan berasa tertekan apabila diarah menyiapkan kerja rumah atau melakukan aktiviti baru. Bagi menangani perkara ini, anda perlu menjadikan arahan itu sebagai permainan untuk menimbulkan minat mereka seperti memberikan hadiah apabila mereka menyiapkan setiap tugasan.
Sekiranya kanak-kanak takut untuk mencuba sesuatu yang baru, jangan memaksa. Apa yang penting, bantu mereka menanganinya dengan meminta mereka melihat secara terperinci aktiviti berkenaan sebelum mencubanya secara perlahan.
4. Menunggu
Ada pula kanak-kanak yang akan 'memberontak' apabila tidak memperoleh apa diingini atau dilarang melakukan sesuatu perkara. Sebenarnya mudah untuk kanak-kanak bertolak-ansur berhubung perkara ini sekiranya mereka dapat melakukannya walau sebentar.
Jadi ibu bapa perlu membenarkan mereka meneruskan keinginan itu dengan syarat mengehadkan masa supaya mereka berhenti melakukan aktiviti dalam tempoh tertentu. Apabila kanak-kanak menentang untuk berhenti melakukan aktiviti digemari, pujuk mereka dengan cara terbaik seperti menjanjikan aiskrim jika mereka berhenti bermain di taman permainan dan mengikut anda pulang.
5. Bina semangat
Sesetengah kanak-kanak bersikap 'amat sempurna' dan 'tidak boleh menerima kekalahan' dalam segala tugasan seharian yang dilakukan. Anda perlu mengingatkan mereka bahawa anda sebenarnya mengagumi usaha yang dilakukan mereka walaupun hasil aktiviti yang dilakukannya tidak sempurna. Lebih baik, janjikan habuan jika mereka kalah sesuatu permainan bagi mengelakkannya merasa sedih atau rendah diri.
6. Melawan untuk perhatian
Bagi sesetengah kanak-kanak, sikap golongan dewasa yang tidak membenarkan mereka mengikuti aktiviti dilakukan akan membuatkan kanak-kanak merasa tersisih.
Kanak-kanak tidak akan meminta perhatian dalam keadaan yang tidak bersesuaian jika mereka memahami situasinya. Jika anda membawa kanak-kanak menemani anda bagi sebarang pertemuan atau tugasan penting, terangkan kepada mereka orang lain sama ada dewasa atau kanak-kanak tidak dibenarkan turut serta dalam perkara itu.

Sunday, November 1, 2009

PERANAN PENTING BAPA DI DALAM SEBUAH KELUARGA

  1. Luangkan masa untuk anak
  2. Belajar untuk menjadi bapa yang bijak
  3. Jadi model kepada hubungan sihat antara ahli keluarga
  4. Ambil berat peribadi anak
  5. Jadilah contoh kepada anak

LUANGKAN MASA UNTUK ANAK

Bila bapa boleh meluangkan masa untuk makan bersama anak-anak, ada masa berhibur dan bermain bersama-sama, menolong membuat kerja rumah, maka anak-anak bukan saja berjaya di dalam pelajaran tetapi juga dapat membina rasa selamat di dalam kehidupan mereka.

Oleh itu bapa mungkin boleh berkelah bersama anak, atau melihat video, atau bermain computer games bersama. Mereka boleh bermain bola, mengayuh basikal, atau main golf. Boleh juga membaca buku cerita bersama-sama. Memang ada banyak cara untuk menggunakan masa bersama-sama. Bukan semata-mata kehadiran bapa di dalam keluarga tetapi yang lebih penting adalah bagaimana menggunakan masa bersama itu secara berkesan. Mesej utama yang perlu disampaikan kepada anak adalah 'Abah suka bersama kamu'.

Bapa yang selalu bermesra dengan anak melalui aktiviti riadah, permainan, membaca dan membuat kerja rumah akan menjalin hubungan yang rapat berbanding dengan bapa yang tidak melakukannya.

Membaca dengan anak adalah alat yang sangat berkesan untuk menjalin hubungan antara bapa dan anak. Ianya juga adalah perkara penting yang menentukan kejayaan anak di dalam pelajaran. Bapa yang selalu mengadakan sesi membaca bersama anak sebenarnya telah memilih untuk menggunakan masa bersama anaknya. Banyak kanak-kanak memberi tahu bahawa ini adalah hadiah yang sangat berharga kepada mereka.

BELAJAR MENJADI BAPA BIJAK

Memang susah untuk menjadi bagus di dalam sesuatu perkara jika kita tidak belajar atau berlatih bersungguh-sungguh. Menjadi bapa yang baik tidak berlaku secara automatik. Sebenarnya bertindak secara automatik itulah yang menjadikan kita musuh kepada anak kita. Bapa hendaklah sentiasa ingat bahawa 'kuliah marah' lebih banyak mendatangkan kerosakan dan sakit hati dari memberi pengajaran. Jadi bagaimana kita mengawal tindakan kita semasa berdepan dengan anak bermasalah? Kita mestilah membaca buku mengenai bapa bijak. Bertanya kepada bapa lain yang telah berjaya mendidik anak mereka dengan berjaya. Kita belajar dari kesilapan. Menjadi bapa yang baik bermakna membesar bersama-sama dengan anak mengajar mereka menjadi individu yang baik dan berkebolehan. Anak kita akan memaafkan kita atas kelemahan kita bila mereka nampak kita telah buat bersungguh-sungguh mendidik mereka.

BAPA MODEL HUBUNGAN SIHAT

Kanak-kanak belajar perkara penting mengenai asas hubungan di rumah. Cara ibu bapa bercakap antara satu sama lain dan cara bercakap dengan anak-anak meletakkan asas penting kepada anak-anak mengenai konsep hubungan bagi mereka. Ibu bapa yang bercakap lemah lembut dan penuh sopan santun mengajar anak mereka berhubungan dengan orang lain secara sopan santun. Begitulah sebaliknya.