Saya jumpa tulisan yang sangat bagus di satu blog. Tulisan tersebut adalah:
Pastikan anak sampai awal ke sekolah. Ada ibu bapa tidak ambil kisah perkara ini, akhirnya anak didenda pengawas sekolah. Denda berdiri di depan perbarisan. Ini pasti mengganggu emosi anak dan lama kelamaan mereka mula ponteng sekolah kerana takut atau malu masuk sekolah lambat.
Jejaki anak kita selepas sekolah. Kebanyakan sekolah harian, waktu persekolahan tamat tengahari sedangkan ibubapa bekerja hingga jam 5 petang. Dalam beberapa jam tanpa kawalan itu, anak boleh lakukan pelbagai perkara. Jika terpengaruh dengan rakan jahat, rosaklah akhlak mereka.
Sesekali lakukan pemeriksaan mengejut dengan balik ke rumah awal untuk pastikan aktiviti anak. Cuba jejaki di mana anak kita berada dan siapa kawan mereka. Ini membolehkan anak tahu yang kita ambil tahu dan sayangkan mereka.
Pastikan mereka hadir ke sekolah, kelas tuisyen dan kelas agama. Sibukkan diri anak selepas waktu persekolahan dengan menghantar mereka ke kelas tuisyen dan kelas agama. Ini membolehkan kita tahu di mana mereka. Kita perlu semak dengan guru tuisyen dan agama sama ada anak kita hadir atau tidak. Jangan percaya bulat-bulat apa yang disampaikan anak kepada kita.
Semak beg dan laci anak. Sesekali cuba semak beg dan laci anak dan tengok apa ada di dalamnya. Kita mungkin boleh jumpa pemetik api, rokok dan sebagainya. Mereka mungkin juga memiliki sesuatu yang bukan milik mereka. Langkah awal adalah langkah pencegahan yang boleh menyelamatkan mereka.
Pastikan mereka siapkan tugasan dan kerja sekolah. Tanya ada kerja atau tidak. Jangan terlalu percaya apabila anak berkata tiada kerja rumah diberikan guru. Lama-kelamaan anak terbiasa dengan tidak menyiapkan kerja sekolah. Ini akan membuatkan mereka tidak faham apa yang dipelajari dan keputusan peperiksaan merosot.
Aturkan masa belajar dan masa rehat. Didik mereka konsep pengurusan masa. Mereka perlu tahu waktu belajar, main, menonton tv, berinternet, beribadah dan santai. Tanpa panduan ibu-bapa sukarlah untuk anak mengaturnya. Sebab lain anak lain perangainya.
Latih anak dirikan solat di awal waktu. Ajak anak solat subuh berjemaah. Lebih bagus jika di mesjid. Disiplin anak bermula dengan bagaimana mereka mengerjakan solat. Jika suruhan Allah dilewatkan dan diabaikan, sukar mereka mematuhi suruhan manusia. Biasakan anak mengutamakan kepentingan solat ini. Lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.
Selalunya anak yang bermotivasi lebih mudah untuk berdisiplin.
No comments:
Post a Comment