Oleh PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON
MASYARAKAT Malaysia hari ini cukup terganggu secara fizikal, mental, emosi dan spiritual dengan pelbagai kegiatan jenayah yang berlaku hampir setiap hari.
Kebanyakannya memfokuskan kepada remaja dan masalah sosial itu tiada hentinya untuk dibicarakan. Remaja mengandung luar nikah semakin mengancam keharmonian masyarakat, semakin banyak ditegur, dipapar dan disiarkan gambar-gambar bayi yang dibuang macam sampah oleh pelaku tidak bermoral itu, semakin bertambah pula bilangan bayi-bayi yang dibuang.
Mengapa anak-anak remaja kita semakin runtuh akhlaknya dan hilang sikap malu dan adab sopan sebagai manusia? Tiada siapa mampu memberi jawapannya kerana yang pasti akhlak remaja semakin rosak dan liar.
Apabila kita renung kembali dengan ikhlas sebagai ahli masyarakat, ibu bapa dan juga pemimpin, mengapa masalah sosial ini terus berlaku? Ini kerana kita terlupa atau buat-buat lupa tentang punca akar umbi masalah sosial tersebut.
Berikut sedikit sebanyak punca masalah sosial remaja kita.
1. Kendiri
Remaja hari ini kurang mampu dan mapan mengurus diri sendiri kerana semua keperluan diri disediakan oleh ibu bapa yang tidak mahu anak-anak merasa susah dalam kehidupan mereka. Kesan daripada sikap ibu bapa yang memanjakan anak-anak dengan material dan perhatian berlebih-lebihan itu menjadikan anak-anak kurang berdikari dan tidak mahu susah dalam kehidupan mereka.
Akibatnya anak-anak remaja sukar mengendalikan emosi semasa berhadapan dengan masalah hidup dan tekanan daripada rakan-rakan. Kebanyakan remaja tidak tahu mengendalikan emosi marah, bahagia, derita atau cinta yang melingkari kehidupan seharian mereka. Jika mereka berhadapan dengan tekanan dan pujukan rakan-rakan yang mengajak melakukan jenayah atau kehidupan sosial negatif yang lain seperti minum arak, dadah, seks bebas dan sebagainya, mereka tidak mampu menepis dan menolak pujukan tersebut kerana tidak mempunyai jati diri yang kukuh.
2. Keluarga
Nilai murni kekeluargaan hari ini juga sudah banyak punah dek kerana ibu bapa sibuk bekerja mencari rezeki dan tidak menumpukan perhatian terhadap kualiti kehidupan berkeluarga dan anak-anak. Walaupun usaha murni ibu bapa adalah untuk memberi kesenangan kepada anak-anak dan keluarga, namun pembentukan sahsiah diri anak-anak perlu diberi perhatian. Jika ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak yang ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan tidak bimbang untuk melakukan jenayah dan kegiatan tidak sihat di rumah sendiri atau di kawasan persekitaran rumah seperti menagih dadah, menonton video lucah dan mencuri sebagainya.
Masalah yang berlaku dalam rumah juga memberi kesan kepada jiwa anak-anak seperti ibu bapa yang bercakaran di hadapan mereka. Anak-anak akan merasakan diri kurang kasih sayang dan pembesaran yang tidak sihat itu akan membentuk kerapuhan diri dan jiwa anak-anak akan mudah terdedah dengan tarikan sosial negatif di luar.
3. Kewangan
Banyak jenayah dan masalah sosial yang dilakukan remaja hari ini disebabkan oleh soal kewangan kerana keinginan anak-anak muda hari ini semakin meningkat untuk menggunakan barangan mewah bagi menunjukkan status diri mereka di kalangan rakan-rakan sebaya. Tidak semua anak-anak remaja ini lahir dari keluarga berada dan mampu menikmati kemewahan hidup. Bagi remaja dari keluarga susah, mereka mudah terikut-ikut rakan-rakan yang mewah tetapi soalnya bagaimana mereka mendapatkan sumber kewangan tersebut. Sudah tentu dengan melakukan jenayah dan kegiatan tidak bermoral seperti mencuri, merempit, melacur, mengedar dadah dan menyimpan barangan curi untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kehendak hidup mereka yang mewah.
4. Kemasyarakatan
Masyarakat hari ini sudah kurang peka dan banyak buat 'pekak' terhadap nilai hidup kejiranan dan bermasyarakat. Struktur pembinaan perumahan hari ini juga banyak mempengaruhi gaya hidup masyarakat yang negatif. Kondominium dan pangsapuri mewah mementingkan gaya hidup individualistik. Rumah-rumah banglo pula diiklankan dengan gaya hidup berfokuskan keselamatan yang berlebihan seperti guarded and gated agar tidak diganggu penjenayah. Sedar atau tidak, masyarakat kita telah membina jurang hidup secara manual dengan jiran dan masyarakat setempat.
5. Rakan-rakan
Faktor ini telah diketahui ramai sebagai punca utama remaja hari ini terjebak dalam masalah sosial yang negatif. Pengaruh rakan sebaya umpama tarikan magnet yang menjadikan remaja lebih gemar melepak dan mengikut rentak dan gaya hidup mereka. Jika rakan-rakan itu buruk perangai dan aktif dalam kegiatan jenayah dan masalah sosial, maka mereka akan mengikutnya kerana remaja hari ini lemah jati diri dan tiada tujuan hidup.
6. Keagamaan
Iman dan amal yang lemah terhadap agama menjadikan remaja hari ini tidak mampu berfikir mengenai perbuatan buruk yang mereka lakukan. Pegangan agama yang longgar dan tiada tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa menjadi punca masalah sosial ini berterusan.
Dengan itu, ibu bapa, ahli masyarakat, guru dan pemimpin perlu berusaha membantu anak-anak remaja hari ini daripada terus menerus melakukan kegiatan yang tidak bermoral.
Penulis ialah pensyarah di Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Tenaga Nasional.
No comments:
Post a Comment