doa anak dari quran

doa anak dari quran

doa anak

~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, peliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~

Tuesday, August 10, 2010

MENDIDIK ANAK SOLAT TARAWIH

Hari ini 1 Ramadhan. Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik amalan kita dari yang telah lepas.
Masjid tempat saya solat tarawih penuh hingga ke saf belakang. Sungguh bagus amalan kariah masjid kali ini. Saya bawa sekali anak saya 6 tahun. Mula tidak mahu ikut tapi bila ibunya pergi sama dia pun bersemangat mengikut! Dia turun dahulu bersama ibunya sementara saya mencari parking kereta. Sangkaan saya dia berada di saf bersama ibunya. Hampir saya mengangkat takbir solat Isyak, saya terpandang seorang budak lelaki berpakaian merah dan berkopiah putih melakukan aksi berjalan merangkak seperti kucing menghampiri saya. Terdetik di hati saya, 'anak siapalah ini?'. Apabila budak itu memalingkan mukanya kepada saya barulah saya sedar bahawa itu anak saya!
Saya terus memegangnya dan mencari tempat paling tepi ke dinding dan meletakkan anak saya di sebelah saya. Dengan arahan supaya tidak boleh keluar dari sejadah yang saya bawa dari rumah. Sepanjang solat Isyak anak saya boleh rukuk dan sujud dan selebihnya bergerak-gerak tanpa henti. Saya sungguh bimbangkan makmum di belakangnya. Saya mungkin boleh bertolak ansur kerana dia anak saya. Tetapi orang di belakangnya tentulah terganggu teramat sangat. Selesai imam membaca doa selepas Isyak saya mengundur ke saf paling belakang dengan anak saya paling tepi menghampiri dinding. Di sebelah kanan saya, anak saya dan di sebelah kiri adalah 20 orang kanak-kanak berumur 5-12 tahun.
Apabila solat tarawih dimulakan anak saya cuma menumpukan perhatiannya kepada kanak-kanak di sebelah saya yang solat dengan bising dan bermain-main. Ada yang menepuk punggung kawan semasa tengah bersolat. Selesai 4 rakaat solat tarawih, saya terpaksa menyerah kalah kerana anak saya tidak bertarawih dan menyerah kalah kepada keadaan bising kanak-kanak di sebelah saya. Saya menarik anak saya turun dari masjid untuk mencari strategi bagaimana boleh bertarawih dengan lebih selesa. Apabila saya turun dari tangga masjid saya terpandang kepada satu saf yang terdiri dari 4 orang dewasa dan 1 kanak-kanak. Keadaan di situ lebih tenang dan selesa. 'Inilah dia safnya!' kata hati saya. Di sini saya boleh solat dengan lebih baik dan anak saya juga boleh melakukannya dengan 70% lebih baik dari mula-mula tadi. Kanak-kanak yang solat di sebelah bapanya juga begitu bagus solatnya.
Saya berpendapat jika ibu bapa membawa anak ke masjid janganlah biarkan anak-anak bersama-sama kawan-kawannya kerana besar kemungkinan dia tidak solat. Sebaliknya membuat bising dan menggangu jemaah lain. Ibu bapa mesti bersungguh-sungguh mendidik anak. Memanglah mengajak anak ke masjid adalah satu amalan yang terpuji. Tetapi ianya boleh jadi tidak baik jika kita membiarkan anak tanpa kawalan. Oleh itu sentiasalah beringat bahawa dalam mendidik anak tidak ada jalan singkat. Mesti berusaha bersungguh-sungguh dan teliti dari A - Z!

1 comment:

piewahid said...

salam cikgu,

saya singgah untuk mengucapkan:

1. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

2. Semoga segala doa, ibadah dan taubat kita dimakbulkan-Nya dan semoga berbahagia dunia akhirat.

3. Terima kasih pernah mendidik saya dan berkongsi pengalaman yang sangat berharga.
(sekarang didik anak saya pula). Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa bakti.

4. Berhati-hati di jalanraya.