doa anak dari quran

doa anak dari quran

doa anak

~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, peliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~

Friday, July 23, 2010

Contoh Keluarga Peneroka Berjaya Mendidik Anak Dalam Pendidikan

Hujung minggu saya sekeluarga balik kampung ke rumah ibu. Peluang yang ada di ajak oleh ibu mengunjungi jirannya. Memang telah lama saya tidak ke rumah jiran tersebut. Rumahnya telah berubah menjadi besar dan cantik. Silingnya saja telah berubah menjadi seperti siling yang terdapat di hotel-hotel.


Tapi bukan perubahan rumah itu yang menarik perhatian saya. Perkara yang menarik perhatian saya adalah gambar lima orang anaknya yang digantung tersusun pada dinding menerima ijazah masing-masing. Tinggal anak bongsu seorang sahaja lagi yang belum tergantung gambar seperti itu. Masih terlalu segar di ingatan saya bagaimana anak-anak ini dibesarkan di dalam kepayahan seorang peneroka pada tahun 80 an dan 90 an. Adik beradik yang selalu bergaduh, merajuk di bawah rumah dan sebagainya. Ada diantaranya yang disakat oleh adik saya supaya mandi dengan tepung jika inginkan kulit yang putih! Dalam gambar di dinding itu budak perempuan tersebut begitu ayu dan bergaya dengan ijazah yang digenggamnya.


Saya tertanya-tanya apakah prinsip yang diamalkan oleh keluarga ini yang di dalam kepayahan mereka boleh membesarkan anak-anak yang berjaya ke universiti dan mempunyai kerjaya masing-masing. Ibu dan bapa bukanlah orang terpelajar yang boleh memberi tution kepada anak mereka. Saya cuba menangkap apa yang dibualkan oleh jiran tersebut dengan ibu saya mengenai pendidikan anak-anak mereka.


"Saya tidak pandai untuk memberi tunjuk ajar dan mendisiplinkan anak. Jadi saya hantar mereka ke asrama. Jika di rumah mereka menjadi pemalas, bermain motor dan sebagainya. Di asrama ada peraturan".


Kata-kata itu terus mengingatkan saya kepada pelajar-pelajar saya yang berada di asrama sekolah saya. Tambahan pula anak sulung jiran ini pernah bersekolah di sekolah saya. Memang betul asrama ada peraturan. Tetapi yang terlintas di kepala saya adalah aduan seorang ibu pelajar tingkatan 3 yang anaknya didapati merokok bahawa di dalam bilik anaknya yang seramai 12 orang cuma 3 orang sahaja tidak merokok!


"Hujung minggu saya selalu ke asrama mereka membawa makanan sambil menjenguk mereka".


Saya percaya inilah perkara yang sangat besar faedahnya yang perlu dilakukan oleh ibu bapa seperti ini terhadap anak-anak mereka. Menunjukkan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak.


Elok jika kita dapat membaca dan menghayati apa yang ditulis di dalam Mingguan Malaysia 25 Julai 2010 mengenai perkara ini.


Selipar 'fung keong' dan pos laju


''Kadang-kadang sebagai ibu kepada seorang anak lelaki, saya harus uruskan benda yang pelik-pelik. Contoh terbaik minggu lepas saya pos laju tali pinggang. Hari ini saya pos laju selipar Jepun pula.
''Perkara ini berlaku sebab anak lelaki saya belum sampai 'level of responsibility' yang saya harapkan dan saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan saudara terdekat.
''Namun saya terus berdoa supaya janganlah satu hari nanti saya perlu pos laju seluar dalam pula.''
Catatan diari seorang ibu perihal anak lelakinya berusia 14 tahun yang kini bersekolah di Ipoh, Perak.
Dia dikurniakan empat cahaya mata, tiga perempuan dan seorang lelaki yang juga anak sulung dalam keluarga. Rutin berulang-alik ke Ipoh bermula awal tahun ini. Anaknya masuk asrama semasa tingkatan dua. Selain Kuala Lumpur-Ipoh, dia juga selalu berulang-alik ke pos laju.
Catatan diarinya tidak berhenti di situ.
''Hari ini budak pos laju nak tengok pula barang yang nak dipos, terpaksalah tunjuk selipar Jepun fung keong depan orang ramai (terglamor seketika, semacam kedengaran siren ambulans di luar pejabat pos mahu mengambilku selepas diserang penyakit malu tahap 4).''
Sempat dia bergurau dalam catatannya sendiri. Sememangnya seorang ibu tidak pernah malu untuk berbuat apa saja untuk anaknya.
Dia memanjangkan lagi notanya. Dikhabarkan di sekolah anaknya tidak disediakan perkhidmatan dobi. Semasa bulan-bulan pertama, baju yang disidai di ampaian terbiar berhari-hari tidak berangkat. Akibatnya baju tersebut hilang. Paling tragis (istilah yang dia gunakan), baju-baju tersebut dikutip oleh warden yang kemudian menjualnya dengan RM2 sehelai.
''Bayangkan duit sekolah buat beli baju sendiri.''
Dimanjakan
Luahan itu memang bukan perkara baru bagi ibu bapa yang mempunyai anak tinggal di asrama terutamanya anak lelaki.
Lebih-lebih lagi jika anak itu biasa dimanjakan, apabila melalui cubaan hidup berdikari pada usia mentah maka terjadilah insiden-insiden hilang barang sampai kadangkala macam tak terjangkau dek akal.
Dalam hal ini, terfikir juga wajarkah seorang anak yang baru berusia 13 tahun dihantar ke asrama. Rasanya terlalu awal memisahkan seorang anak dengan adik-beradiknya yang lain. Tidak mustahil kelak akan menjadi punca kerenggangan hubungan lantaran bersua muka sebulan sekali atau hanya ketika cuti sekolah. Sebab itu ada ibu bapa mengeluh anak yang dihantar ke asrama pada usia terlalu muda mempunyai karakter tersendiri. Tidak begitu gemar bergaul dengan adik-beradik, pendiam dan sedikit mementingkan diri. Adakalanya mereka lebih senang bersama rakan-rakan berbanding menghabiskan masa bersama keluarga. Pernah juga kedengaran, ada anak bersikap demikian kerana memprotes dalam diam lantaran terlalu awal dipaksa berpisah dengan ibu bapa.
Teringat kisah seorang teman. Dia dihantar ke asrama ketika tingkatan satu. Bapanya berkongsi cerita bagaimana ibunya setiap hari bengkak mata gara-gara tidak dapat menahan rindu. Lebih daripada itu memikirkan anak perempuan yang selama ini makan bersuap dan tidur bawah ketiak terpaksa menguruskan diri sendiri. Lama juga keadaan seperti itu berlarutan, akhirnya selepas setahun, anak itu dikeluarkan dari asrama dan bersekolah tidak jauh dari rumah.
Adakah ibu bapa terlalu mementingkan impian sendiri sehingga sanggup mengorbankan perasaan dengan alasan untuk melihat anak berjaya sedangkan hakikatnya anak itu tidak bersetuju diperlakukan sedemikian. Atau pun sememangnya banyak kelebihan menghantar anak ke asrama supaya mereka boleh belajar berdikari. Seorang bapa memberitahu, dahulunya dia juga tinggal di asrama seawal usia 13 tahun. Oleh kerana dia daripada keluarga miskin, maka selepas hari pertama dihantar ke asrama, ibu bapanya tidak pernah menjenguk. Jadual balik kampung bulanannya juga tidak pernah dipenuhi. Dia menghabiskan masa di asrama. Lima tahun begitu. Kemudian menyambung pengajian di universiti, tetapi dia tidak pernah melupakan keluarga jauh sekali mahu berkecil hati lantaran tahu dia menjadi harapan keluarga.
Mungkin agaknya dalam membuat penilaian sama ada menghantar anak ke asrama atau tidak, ibu bapa boleh berbincang. Pandangan anak biar pun baru berusia 13 tahun tidak boleh diketepikan. Tetapi dalam kes rakan yang menjadi pengunjung tetap pejabat pos, antara dia dan anak sememangnya rela berpisah. Si anak mahu tinggal di asrama, namun harapan ibu untuk melihat dia berdikari terlalu awal untuk dipenuhi. Jadi perjalanan ke Ipoh akan diteruskan, manakala kerani-kerani di pejabat pos bakal menjadi kenalan

No comments: