Wanita jangan mengalah
Salam 1 Malaysia Putri,Saya merupakan seorang pelajar universiti yang terkenal yang masih belum berumah tangga dan masih tidak mempunyai seseorang yang istimewa. Mungkin saya masih tidak layak bercakap mengenai cinta dan rumahtangga, namun saya banyak mengambil pengajaran daripada kehidupan orang lain. Di sini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang pengajaran yang saya dapat. Semoga ia boleh membantu wanita-wanita yang lain.
Sebelum itu, silalah gelar saya sebagai G.
Daripada minggu ke minggu saya membaca ruangan luahan rasa. Adakalanya saya nak tergelak, adakalanya saya rasa nak marah dan adakalanya saya menangis setelah mengetahui nasib wanita-wanita di luar sana mengenai tiga perkara yang menjadi lumrah kehidupan dan soalan besar.
Pertama, cinta…
Sesungguhnya saya tak faham akan kehendak pasangan-pasangan yang berpeluk bercium sementara mereka masih tidak sah untuk berkelakuan begitu. Saya bukanlah seorang yang alim. Saya merupakan pelajar IPTA yang mengambil jurusan muzik, tapi ia tidak bermaksud bahawa semua pelajar muzik itu 'penggemar aktiviti sosial' kerana saya sendiri mengecam sepenuhnya percintaan yang melanggar batasan agama. Apa yang seorang wanita itu dapat apabila dia mengorbankan apa sahaja termasuk wang, masa dan kehormatan demi cintanya pada seorang lelaki yang akhirnya meninggalkan dia? Apakah perasaan anda jika ditinggalkan setelah anda berkorban sebegitu rupa? Tidakkah anda terasa hina setelah anda mengorbankan mahkota anda untuk seorang lelaki yang bukan bergelar suami yang akhirnya meninggalkan anda terkapai-kapai keseorangan? Ada seorang rakan saya berkelakuan sebegitu dahulu dan sekarang dia menyesali tindakannya kerana memberi 'lebih-lebih' kepada teman lelakinya yang kini telah meninggalkannya.
Wahai wanita, tidak perlulah bercinta sehingga maruah anda tergadai. Bercintalah dengan mulia kerana ia dapat menjamin rumahtangga yang bahagia. Dan bagi saya, jual mahal adalah lebih baik daripada jual murah.
Sedikit tentang berumahtangga…
Baru-baru ini, saya terbaca mengenai seorang wanita yang merisaukan dirinya digelar anak dara tua. Bagi saya, tiada apa yang perlu dirisaukan apabila digelar anak dara tua. Ia sudah seolah-olah menjadi trend dunia sekarang. Mengapa? Jawapan saya, ramai lelaki tidak mampu menunaikan tanggungjawab mereka setelah bergelar suami.
Saya berkata begini kerana lelaki-lelaki sekarang yang saya temui memakai kemeja-T yang tertulis, "Saya memerlukan seorang wanita yang berpendidikan, berkerjaya, pandai memasak, pandai menjaga rumah dan boleh menjaga kebajikan saya". Apakah dunia sudah terbalik, wanita yang perlu menjaga suami yang masih sihat? Bagaimana tanggungjawab lelaki tersebut setelah bergelar suami kelak? Apakah menjadi tanggungjawab sebagai seorang isteri untuk keluar berkerja, menyara kehidupan suaminya dan menyediakan pakaian, makanan dan tempat tinggal untuk suaminya? Wahai wanita, jauhilah mereka.
Bagaimana pula tentang kisah berpoligami?
Terus terang saya mengatakan bahawa saya seorang anti-poligami. Ini kerana kebanyakan lelaki yang berpoligami tidak menunaikan tanggungjawab mereka dengan adil terhadap isteri-isteri mereka. Pernah saya bertanya kepada ayah kenapa lelaki teringin untuk berpoligami? Jawapan ayah, "Sebab ego. Lelaki berbangga apabila ada lebih daripada seorang isteri. Dia boleh menunjuk-nunjuk kepada kawan-kawannya."
Tapi apa kita lihat kebanyakan lelaki yang berpoligami, berapa kerat sangatlah yang mampu menunaikan tanggungjawab mereka sepenuhnya terhadap isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka biarpun selepas bercerai? Ya, seorang lelaki boleh mengatakan bahawa berpoligami merupakan sunnah nabi. Saya tidak menafikannya, tapi apakah sunnah nabi yang lain sudah tertunai oleh lelaki-lelaki ini? Tanyalah diri sendiri wahai jejaka sekalian.
Namun, saya tidak menghalang sekiranya jika saya sudah berkahwin dan suami saya mahu berpoligami. Tapi ia datang dengan syarat jika dia mampu menyediakan sebuah rumah yang selesa berserta kenderaan, pakaian, makanan dan harta yang cukup untuk setiap isteri dan anaknya dan boleh bersikap adil. Di situ, seorang isteri tidak lagi akan mempertikaikan kemampuan suaminya, malah merelakan perkahwinannya dengan wanita yang lain. Alangkah bahagia jika seorang suami yang telah menunaikan segala tanggungjawabnya keatas isteri-isterinya mampu pulang menghadap-Nya dalam keadaan yang mulia.
Ini jawapan saya kepada dunia untuk tiga perkara tersebut. Bagi wanita yang bujang, pilihlah lelaki yang baik. Jangan nilai dari luaran mereka sahaja. Tanyalah rakan-rakan anda dan juga rakan-rakan dia tentang dirinya. Bagi wanita yang sudah berumahtangga, semoga cahaya kebahagiaan akan terpancar dan terus terpancar di atas mahligai anda dan bagi mereka yang diuji, banyakkan berdoa kerana Allah mendengar doa orang-orang yang teraniaya.
G, Shah Alam, Selangor.
G,
Terima kasih atas pandangan dan luahan G. Tidak kisah apa jua pilihan wanita, masing-masing perlu tahu kebahagiaan diri. Bahagia yang dicari tidak perlu ada kedukaan dan pengorbanan yang dilakukan biarlah berpada. Bagi mereka yang belum berkahwin, selain mencari pasangan, penuhi diri dengan ilmu dan cita-cita. Dengan itu, kita dapat berbakti kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. Bagi mereka yang bergelar isteri, bersyukur dengan nikmat yang ada. Sikap bertolak ansur dan percaya amat penting. Begitu juga halnya mereka yang hidup berpoligami. Percayalah, setiap apa yang tersurat dan tersirat dalam hidup kita pasti ada hikmahnya.
No comments:
Post a Comment