Sekolah anak saya memanggil semua penjaga tahun enam. GPK 1 memberi penerangan mengenai sasaran UPSR tahun ini. Saya lihat memang cantik. Terima kasih kepada semua guru dan pasukan pentadbir sekolah yang merangka gerak kerja untuk mencapai sasaran ini.
Selepas taklimat GPK 1, semua penjaga yang hadir dijemput ke kelas anak masing-masing. Penjaga perlu bertemu secara individu dengan guru matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Penjaga diberi penjelasan oleh setiap guru pencapaian semasa anak masing-masing. Setiap anak diberi sasaran UPSR dan dijelaskan mengapa sasaran itu begitu.
Penjaga boleh bertanya hal anak mereka di sekolah. Rajin, malas, aktif dan sebagainya. Saya biarkan penjaga lain bertemu guru. Saya mengambil giliran yang akhir. Boleh lihat gelagat ibu bapa berinteraksi dengan guru. Ada penjaga sekadar datang dan bertemu guru sahaja. Apa yang menarik perhatian saya adalah gelagat penjaga yang mengambil serius perkara ini. Mereka datang berdua suami isteri. Banyak soalan ditanya kepada guru.
Ada seorang budak yang kemas dan berbadan segak. Rambutnya digunting dan disikat rapi. Guru menerangkan kepada bapanya yang budak ini tidak bercakap di dalam kelas. Jika dia tidak faham dia tidak bertanya. Bapanya bersungguh-sungguh menyuruh dia bertanya kepada guru jika tidak faham. Namun budak itu senyum sahaja.
Saya lihat bapanya memang bersungguh-sungguh menemui setiap guru bersama anaknya dan minta anaknya bercakap di dalam kelas.
No comments:
Post a Comment