doa anak dari quran

doa anak dari quran

doa anak

~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, peliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~

Friday, November 20, 2009

punca kanak-kanak 'memberontak'

punca kanak-kanak 'memberontak'


Susunan FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN utusan malaysia
Meragam atau 'memberontak' adalah salah satu sifat semula jadi yang ada pada kanak-kanak namun ada kala sifat ini menimbulkan kerunsingan dan kemarahan orang sekeliling terutama ibu bapa sendiri.
Bagi mengawal tabiat tersebut ibu perlu menggunakan pendekatan terbaik dan bersesuaian dengan jiwa si kecil iaitu dengan mengenalpasti apa pencetus kepada sikap mereka itu.
Seorang pakar psikologi yang juga penulis buku No More Meltdowns, Jed Baker, menggariskan enam punca utama yang kenapa kanak-kanak meragam dan cara mengatasinya.
1. Isu biologi
Kebanyakan kanak-kanak bertukar menjadi cepat marah apabila mereka lapar atau letih. Cara penting mengelakkan situasi itu adalah dengan membekalkan makanan ringan digemarinya dalam perjalanan, sementara menunggu untuk makan di restoran.
Bagi mengelakkan kanak-kanak terlalu letih juga, pastikan mereka mendapat rehat mencukupi sebelum keluar rumah dan jangan terlalu lama berkunjung ke sesuatu tempat. Kanak-kanak akan lebih mudah bertolak ansur apabila di dalam jadual perjalanan yang diatur, mereka turut dibawa ke taman rekreasi.
2. Kekurangan aktiviti
Ketiadaan aktiviti yang boleh dibuat dalam tempoh masa lama juga menyumbang kepada sikap 'memberontak' kanak-kanak. Jika ibu bapa tidak menentukan sebarang aktiviti untuk anak-anak, mereka akan menciptanya sendiri yang akan mewujudkan ketidakpuasan ibu bapa. Sediakan bahan teka-teki, permainan, projek seni, buku, video dan aktiviti yang dapat mengurangkan ketegangan kanak-kanak menunggu.
3. Kehendak
Kebanyakan kanak-kanak akan berasa tertekan apabila diarah menyiapkan kerja rumah atau melakukan aktiviti baru. Bagi menangani perkara ini, anda perlu menjadikan arahan itu sebagai permainan untuk menimbulkan minat mereka seperti memberikan hadiah apabila mereka menyiapkan setiap tugasan.
Sekiranya kanak-kanak takut untuk mencuba sesuatu yang baru, jangan memaksa. Apa yang penting, bantu mereka menanganinya dengan meminta mereka melihat secara terperinci aktiviti berkenaan sebelum mencubanya secara perlahan.
4. Menunggu
Ada pula kanak-kanak yang akan 'memberontak' apabila tidak memperoleh apa diingini atau dilarang melakukan sesuatu perkara. Sebenarnya mudah untuk kanak-kanak bertolak-ansur berhubung perkara ini sekiranya mereka dapat melakukannya walau sebentar.
Jadi ibu bapa perlu membenarkan mereka meneruskan keinginan itu dengan syarat mengehadkan masa supaya mereka berhenti melakukan aktiviti dalam tempoh tertentu. Apabila kanak-kanak menentang untuk berhenti melakukan aktiviti digemari, pujuk mereka dengan cara terbaik seperti menjanjikan aiskrim jika mereka berhenti bermain di taman permainan dan mengikut anda pulang.
5. Bina semangat
Sesetengah kanak-kanak bersikap 'amat sempurna' dan 'tidak boleh menerima kekalahan' dalam segala tugasan seharian yang dilakukan. Anda perlu mengingatkan mereka bahawa anda sebenarnya mengagumi usaha yang dilakukan mereka walaupun hasil aktiviti yang dilakukannya tidak sempurna. Lebih baik, janjikan habuan jika mereka kalah sesuatu permainan bagi mengelakkannya merasa sedih atau rendah diri.
6. Melawan untuk perhatian
Bagi sesetengah kanak-kanak, sikap golongan dewasa yang tidak membenarkan mereka mengikuti aktiviti dilakukan akan membuatkan kanak-kanak merasa tersisih.
Kanak-kanak tidak akan meminta perhatian dalam keadaan yang tidak bersesuaian jika mereka memahami situasinya. Jika anda membawa kanak-kanak menemani anda bagi sebarang pertemuan atau tugasan penting, terangkan kepada mereka orang lain sama ada dewasa atau kanak-kanak tidak dibenarkan turut serta dalam perkara itu.

Sunday, November 1, 2009

PERANAN PENTING BAPA DI DALAM SEBUAH KELUARGA

  1. Luangkan masa untuk anak
  2. Belajar untuk menjadi bapa yang bijak
  3. Jadi model kepada hubungan sihat antara ahli keluarga
  4. Ambil berat peribadi anak
  5. Jadilah contoh kepada anak

LUANGKAN MASA UNTUK ANAK

Bila bapa boleh meluangkan masa untuk makan bersama anak-anak, ada masa berhibur dan bermain bersama-sama, menolong membuat kerja rumah, maka anak-anak bukan saja berjaya di dalam pelajaran tetapi juga dapat membina rasa selamat di dalam kehidupan mereka.

Oleh itu bapa mungkin boleh berkelah bersama anak, atau melihat video, atau bermain computer games bersama. Mereka boleh bermain bola, mengayuh basikal, atau main golf. Boleh juga membaca buku cerita bersama-sama. Memang ada banyak cara untuk menggunakan masa bersama-sama. Bukan semata-mata kehadiran bapa di dalam keluarga tetapi yang lebih penting adalah bagaimana menggunakan masa bersama itu secara berkesan. Mesej utama yang perlu disampaikan kepada anak adalah 'Abah suka bersama kamu'.

Bapa yang selalu bermesra dengan anak melalui aktiviti riadah, permainan, membaca dan membuat kerja rumah akan menjalin hubungan yang rapat berbanding dengan bapa yang tidak melakukannya.

Membaca dengan anak adalah alat yang sangat berkesan untuk menjalin hubungan antara bapa dan anak. Ianya juga adalah perkara penting yang menentukan kejayaan anak di dalam pelajaran. Bapa yang selalu mengadakan sesi membaca bersama anak sebenarnya telah memilih untuk menggunakan masa bersama anaknya. Banyak kanak-kanak memberi tahu bahawa ini adalah hadiah yang sangat berharga kepada mereka.

BELAJAR MENJADI BAPA BIJAK

Memang susah untuk menjadi bagus di dalam sesuatu perkara jika kita tidak belajar atau berlatih bersungguh-sungguh. Menjadi bapa yang baik tidak berlaku secara automatik. Sebenarnya bertindak secara automatik itulah yang menjadikan kita musuh kepada anak kita. Bapa hendaklah sentiasa ingat bahawa 'kuliah marah' lebih banyak mendatangkan kerosakan dan sakit hati dari memberi pengajaran. Jadi bagaimana kita mengawal tindakan kita semasa berdepan dengan anak bermasalah? Kita mestilah membaca buku mengenai bapa bijak. Bertanya kepada bapa lain yang telah berjaya mendidik anak mereka dengan berjaya. Kita belajar dari kesilapan. Menjadi bapa yang baik bermakna membesar bersama-sama dengan anak mengajar mereka menjadi individu yang baik dan berkebolehan. Anak kita akan memaafkan kita atas kelemahan kita bila mereka nampak kita telah buat bersungguh-sungguh mendidik mereka.

BAPA MODEL HUBUNGAN SIHAT

Kanak-kanak belajar perkara penting mengenai asas hubungan di rumah. Cara ibu bapa bercakap antara satu sama lain dan cara bercakap dengan anak-anak meletakkan asas penting kepada anak-anak mengenai konsep hubungan bagi mereka. Ibu bapa yang bercakap lemah lembut dan penuh sopan santun mengajar anak mereka berhubungan dengan orang lain secara sopan santun. Begitulah sebaliknya.

Saturday, October 17, 2009

Wednesday, September 2, 2009

KEMAHIRAN MENJADI BAPA

Ibu bapa adalah contoh di depan mata setiap hari untuk diikuti dan ditiru oleh anak-anak. Sebaik saja anak dilahirkan, dia belajar daripada ibu bapa. Dia belajar bila dia menangis dia akan dapat perhatian. Dia belajar jika dia jatuhkan cawan ada orang akan kutip dan lapkan airnya. Tindak balas yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membentuk tanggapan dan seterusnya tingkah laku sianak. Hubungan dua hala yang sentiasa berlaku di rumah menjadikan ibu bapa contoh tingkah laku terbaik kepada anak-anak!
Sebagai contoh, bapa yang mahu anaknya berambut pendek mestilah dia berambut pendek terlebih dahulu supaya boleh ditunjuk kepada kanak-kanak berkenaan. Paling cantik bapa minta anak guntingkan rambutnya dan kemudian dia gunting pula rambut sianak. Saling bergunting! Jika ini dapat dijadikan sebagai amalan keluarga mungkin tidak ada masalah lelaki rambut panjang di dalam keluarga.
Sebaliknya ayah yang berambut panjang akan membebankan guru disiplin di sekolah jika anaknya berambut panjang di sekolah. Mengapa dia berambut panjang? Besar kemungkinan anak itu akan keliru dengan contoh yang ditunjukkan oleh ayah di rumah dengan peraturan disiplin rambut kemas di sekolah.
Bapa yang menghantar anak ke sekolah agama perlu berlaku adil kepada anak. Di sekolah, anak terpaksa memakai songkok atau kopiah setiap hari kerana mengikut peraturan. Jadi bapa kenalah juga pakai di rumah. Kalaupun tidak sepanjang masa, sekurang-kurangnya masa anak ada di rumah. Di sekolah, anak terpaksa solat berjemaah. Jadi bapa kenalah juga ke masjid berjemaah. Kalaupun tidak setiap hari, sekurang-kurangnya bila anak ada di rumah. Begitulah juga dengan merokok. Kita boleh merokok. Boleh? Cuma janganlah tunjukkan kepada anak yang kita merokok.
Soalan : Mengapa pelajar dilarang merokok?
Di asrama kita ini, quran mp3 dipasang 24 jam. Anak telah terbiasa dengan bacaan quran. Oleh itu bapa kenalah memasang mp3 quran di rumah. Kalaupun tidak sepanjang masa, sekurang-kurangnya bila anak ada di rumah. Bagaimana jika di rumah yang dipasang mp3 lagu? Sepanjang masa? Lagu rock?
Bapa yang sentiasa keluar rumah dengan alasan untuk berjumpa kawan boleh ditiru oleh anak-anak untuk sentiasa keluar rumah. Apakah yang akan ditiru oleh anak seorang bapa yang sentiasa keluar malam dan balik jam dua atau tiga pagi? Jika anak ini dihantar ke asrama kemungkinan besar warden asrama menghadapi masalah mengawal anak itu dari mencuri keluar asrama waktu malam, hujung minggu dan sebagainya.
Sebaliknya bapa yang sentiasa berada di rumah akan diikut oleh anak-anak yang sentiasa berada di rumah. Bapa yang menanamkan prinsip jika tidak ke pejabat maka hendaklah berada di rumah akan mudah untuk diikut oleh anak yang jika tidak ke sekolah maka mestilah berada di rumah.
Di dalam hal bapa duduk di rumah satu perkara yang sangat senang dilakukan ialah dengan bersenang-senang di rumah. Baring atas sofa. Minum kopi. Baca akhbar. Layar internet. Tonton TV. Tidur dan macam-macam aktiviti yang menyenangkan hati bapa. Lebih cantik jika bapa boleh menolong kerja-kerja ibu di dapur dan mengemas rumah. Tetapi jika kerja-kerja ini akan menyebabkan bapa meronta-ronta hendak lari dari rumah, maka eloklah berehat sahaja. Anak cuma ingin bapanya ada di rumah. Dia akan lega jika bapa boleh nampak dek mata.
Soalan : Mengapa ada bapa yang resah duduk di rumah?
Soalan : Bagaimana kalau anak-anak seronok di pusat snooker atau cyber cafe? Apa kaedah yang sesuai untuk mengubahnya?

Tuesday, October 7, 2008

MENDIDIK REMAJA

Mendidik remaja perlu kemahiran yang berubah-ubah. Setiap dari mereka adalah unik. Apa yang sesuai dengan seorang remaja tidak semestinya sesuai dengan remaja yang lain. Apa yang sesuai pada hari ini mungkin tidak lagi pada hari esok. Kemahiran ini perlu dipelajari oleh ibu bapa dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu.

Ibu bapa hendaklah mengenali dan mengetahui sebanyak mungkin peribadi anak remaja mereka. Tahu tabiat, rakan, kegemaran, kekuatan, kelemahan dan sebagainya. Maklumat ini sangat berguna untuk membimbing dan menegur mereka di dalam sesuatu hal.

Ada remaja ponteng sekolah dengan alasan yang difahami oleh mereka sahaja. Ibu bapa mesti menyiasat keadaan ini dan mengambil langkah-langkah yang boleh menolong mereka mengubah sikap mereka supaya tidak memonteng lagi.

Ada anak yang tinggal di asrama sering tidak ke sekolah pada waktu pagi. Memberi alasan sakit seperti pening kepala, sakit dada, sakit perut dan bermacam-macam sakit yang lain. Anihnya, anak ini akan bermain dan bergurau dengan cergasnya pada waktu petang dan malam. Bagaimanakah menguruskan anak remaja seperti ini?

Seorang sahabat bercerita perihal anak saudara perempuannya yang bersekolah di tingkatan tiga telah mengambil kad atm ibunya dan mengeluarkan wang sebanyak RM900. Kejadian itu terbongkar apabila siibu membuat aduan di bank mengenai kehilangan wang tersebut sedangkan siibu tidak mengeluarkan sendiri duit itu. Setelah melihat gambar rakaman cctv bank barulah diketahui bahawa duitnya dikeluarkan oleh anaknya sendiri. Rentetan peristiwa itu terbongkarlah kegiatan anaknya semasa di asrama antara lain keluar hujung minggu mengunjungi pusat hiburan dan tidur di hotel. Bagaimana menguruskan tingkah laku anak remaja seperti ini?

Kesabaran yang tinggi adalah sangat diperlukan dalam mengendalikan tingkah laku remaja. Ibu bapa hendaklah menegur dan menasihat remaja dengan kasih sayang. Ibu bapa hendaklah menunjukkan kasih sayang ini dengan perbuatan yang jelas supaya dapat dilihat dan difahami oleh anak remaja. Jika tidak teguran dan nasihat yang diberi mungkin disalah anggap sebagai benci.