Bagaimana anak boleh menjadi begitu jauh dengan ibu bapa bila mereka meningkat remaja? Mengapa anak lebih selesa menghabiskan masa di luar rumah dari bersama-sama dengan ibu bapa di rumah? Ini adalah beberapa soalan yang memerlukan jawapan daripada kita sebagai ibu bapa.
Mungkin anak begini tidak mendapat layanan sebagai seorang kawan daripada emak dan ayahnya. Jika ayah boleh meluangkan masa bermain bola, badminton, atau apa saja saja pada waktu petang sejak anak mula pandai berlari besar kemungkinan dia lebih selesa dengan ayahnya berbanding dengan kawan sebaya. Berbeza dengan anak yang dibiarkan setiap petang berkeliling kampung atau taman perumahan sejak berumur 3-4 tahun bersama-sama rakan sebayanya tanpa tujuan mahupun panduan daripada ayahnya. Anak seperti ini akan membesar dengan pengalaman-pengalaman yang dilalui bersama-sama dengan rakan sebaya. Mungkin pengalaman mengambil rambutan orang, mengambil basikal orang, memasuki rumah orang dan lain-lain pengalaman yang tidak elok.
Alangkah bahagianya seorang ayah yang dapat mengajar anak 4 tahun menendang bola di padang permainan. Dapat mengeluarkan peluh sambil bermesra dengan anaknya. Tidak ramai bapa yang ada peluang begini dan tahu menggunakannya! Mungkin ramai bapa yang lebih berminat pekena teh tarik di warung mamak bersama kawan-kawan sambil bincang projek berjuta-juta!