doa anak dari quran

doa anak dari quran

doa anak

~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, peliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~

Wednesday, September 2, 2009

KEMAHIRAN MENJADI BAPA

Ibu bapa adalah contoh di depan mata setiap hari untuk diikuti dan ditiru oleh anak-anak. Sebaik saja anak dilahirkan, dia belajar daripada ibu bapa. Dia belajar bila dia menangis dia akan dapat perhatian. Dia belajar jika dia jatuhkan cawan ada orang akan kutip dan lapkan airnya. Tindak balas yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membentuk tanggapan dan seterusnya tingkah laku sianak. Hubungan dua hala yang sentiasa berlaku di rumah menjadikan ibu bapa contoh tingkah laku terbaik kepada anak-anak!
Sebagai contoh, bapa yang mahu anaknya berambut pendek mestilah dia berambut pendek terlebih dahulu supaya boleh ditunjuk kepada kanak-kanak berkenaan. Paling cantik bapa minta anak guntingkan rambutnya dan kemudian dia gunting pula rambut sianak. Saling bergunting! Jika ini dapat dijadikan sebagai amalan keluarga mungkin tidak ada masalah lelaki rambut panjang di dalam keluarga.
Sebaliknya ayah yang berambut panjang akan membebankan guru disiplin di sekolah jika anaknya berambut panjang di sekolah. Mengapa dia berambut panjang? Besar kemungkinan anak itu akan keliru dengan contoh yang ditunjukkan oleh ayah di rumah dengan peraturan disiplin rambut kemas di sekolah.
Bapa yang menghantar anak ke sekolah agama perlu berlaku adil kepada anak. Di sekolah, anak terpaksa memakai songkok atau kopiah setiap hari kerana mengikut peraturan. Jadi bapa kenalah juga pakai di rumah. Kalaupun tidak sepanjang masa, sekurang-kurangnya masa anak ada di rumah. Di sekolah, anak terpaksa solat berjemaah. Jadi bapa kenalah juga ke masjid berjemaah. Kalaupun tidak setiap hari, sekurang-kurangnya bila anak ada di rumah. Begitulah juga dengan merokok. Kita boleh merokok. Boleh? Cuma janganlah tunjukkan kepada anak yang kita merokok.
Soalan : Mengapa pelajar dilarang merokok?
Di asrama kita ini, quran mp3 dipasang 24 jam. Anak telah terbiasa dengan bacaan quran. Oleh itu bapa kenalah memasang mp3 quran di rumah. Kalaupun tidak sepanjang masa, sekurang-kurangnya bila anak ada di rumah. Bagaimana jika di rumah yang dipasang mp3 lagu? Sepanjang masa? Lagu rock?
Bapa yang sentiasa keluar rumah dengan alasan untuk berjumpa kawan boleh ditiru oleh anak-anak untuk sentiasa keluar rumah. Apakah yang akan ditiru oleh anak seorang bapa yang sentiasa keluar malam dan balik jam dua atau tiga pagi? Jika anak ini dihantar ke asrama kemungkinan besar warden asrama menghadapi masalah mengawal anak itu dari mencuri keluar asrama waktu malam, hujung minggu dan sebagainya.
Sebaliknya bapa yang sentiasa berada di rumah akan diikut oleh anak-anak yang sentiasa berada di rumah. Bapa yang menanamkan prinsip jika tidak ke pejabat maka hendaklah berada di rumah akan mudah untuk diikut oleh anak yang jika tidak ke sekolah maka mestilah berada di rumah.
Di dalam hal bapa duduk di rumah satu perkara yang sangat senang dilakukan ialah dengan bersenang-senang di rumah. Baring atas sofa. Minum kopi. Baca akhbar. Layar internet. Tonton TV. Tidur dan macam-macam aktiviti yang menyenangkan hati bapa. Lebih cantik jika bapa boleh menolong kerja-kerja ibu di dapur dan mengemas rumah. Tetapi jika kerja-kerja ini akan menyebabkan bapa meronta-ronta hendak lari dari rumah, maka eloklah berehat sahaja. Anak cuma ingin bapanya ada di rumah. Dia akan lega jika bapa boleh nampak dek mata.
Soalan : Mengapa ada bapa yang resah duduk di rumah?
Soalan : Bagaimana kalau anak-anak seronok di pusat snooker atau cyber cafe? Apa kaedah yang sesuai untuk mengubahnya?