doa anak dari quran

doa anak dari quran

doa anak

~Ya ALLAH, berikanlah aku kesabaran dalam mendidik anak-anak ku. Jadikanlah anak-anakku anak yang soleh, baik pekerti, berhati lembut, baik budi bicara dan cerdas akal fikirannya, peliharalah anak-anakku dalam cahaya keimanan-MU ya ALLAH. Sesungguhnya hanya Engkau pemakbul segala doa. Amiin~

Wednesday, December 9, 2009

PELIHARA ANAK SEPERTI PERMATA

Oleh NURUL IZZAH SIDEK UTUSAN MALAYSIA
HARI demi hari kita dikejutkan dengan kisah-kisah penganiayaan kanak-kanak. Amat menyedihkan apabila melihat kanak-kanak didera dan diabaikan, dipaksa menjadi buruh, diperlakukan dengan perbuatan jenayah dan seksual malahan bayi ditinggal atau dibuang bagaikan sampah.
Seolah telah terhakis sifat ihsan dan belas kasihan pada kanak-kanak ini yang tidak berdosa ini.
Sukar membayangkan anak-anak yang suci ini diperlakukan sebegitu rupa. Di manakah hilang kasih sayang serta ihsan yang Allah kurniakan kepada manusia? Apalah dosa anak-anak ini sehingga menerima nasib yang begitu menyedihkan?
Anak anugerah Allah
Allah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian dan dipertanggungjawabkan pula untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Untuk itu, manusia memerlukan keturunan dan zuriat untuk mengembangkan tujuan tersebut.
Justeru, anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya dan amanah yang wajib dijaga dan dipelihara sebaik-baiknya supaya membesar menjadi khalifah Allah yang berguna. Malangnya ramai yang tidak menyedari dan mengabaikan tanggungjawab tersebut.
Anak-anak itu ibarat kain putih. Jalinan coraknya ditentukan oleh acuan persekitarannya. Jika baik acuan persekitarannya, maka warna-warni coraknya pasti menjadi contoh teladan dan sumber ikutan yang baik.
Jika sebaliknya, maka ia boleh merosak masa depannya serta bakal membebani orang-orang di sekelilingnya.
Justeru ajaran Islam sangat mementingkan penjagaan anak-anak sedari kecil. Anak-anak wajar disayangi dan dimanjakan, tetapi harus dididik mengenal Allah, Rasul dan ajaran Islam. Zaman remajanya pula dilayan seperti sahabat, asalkan tidak melampaui batas keibubapaan.
Nabi Muhammad SAW sangat menyayangi anak-anak serta cucu-cucu baginda. Rasulullah SAW tidak pernah memarahi atau meninggikan suara terhadap kanak-kanak semasa ingin menasihati mereka. Baginda sering berlemah-lembut dalam percakapannya dengan kanak-kanak.
Satu hadis dari Sunan Abu Dawud: "Seorang sahabat Nabi pernah berkata, "Semasa saya kecil, saya suka menjatuhkan buah kurma dengan membaling batu pada pohon kurma. Pada suatu hari, ada seseorang (Rasulullah) yang mendukung saya dan menasihati saya agar memungut buah kurma yang jatuh dari pohon dan bukan menjatuhkannya menggunakan batu. Dia kemudiannya mengusap kepala saya dan memohon rahmat untuk saya".
Baginda banyak mengamalkan konsep pemberian ganjaran dan bukannya hukuman denda dalam hal mendisiplin kanak-kanak.
Luka menjadi barah
Kanak-kanak suka dimanjai, dibelai dan ditatang bagai minyak yang penuh. Pasti ramai yang bersetuju bahawa kanak-kanak sangat jujur pada diri mereka sendiri. Ini kerana tidak matang lagi untuk mengawal tingkah laku dan perasaan mereka. Tingkah laku mereka kadangkala menguji kesabaran dan pertimbangan diri ibu bapa.
Justeru orang dewasa seharusnya menjadi nahkoda dan ikutan yang baik kepada mereka dalam mendidik watak dan emosi. Usah kita lupa bahawa tingkah laku semasa kanak-kanak juga bakal membina sikap, pendirian, watak dan kebiasaan terhadap sesuatu perkara atau pun amalan apabila menjejak alam remaja dan dewasa.
Jika zaman kanak-kanaknya ia didera, bakal dewasanya membesar dengan ketakutan dan hilang keyakinan diri. Apabila meniti zaman remaja, ketakutan akan bercambah manjadi dendam dan seterusnya apabila ia sudah mengerti maksud kedewasaan, maka dendam tadi tidak mustahil akan diterjemahkan dalam bentuk perbuatan pula.
Islam umumnya tidak menghalang ibu bapa menghukum anak-anak, tetapi mestilah bersifat mendidik, tidak didorong perasaan amarah dan tidak melampaui batas syarak dan kemanusiaan.
Trauma daripada zaman malang kanak-kanak boleh menghantui alam remaja serta dewasa seseorang dan lukanya amat sukar disembuhkan. Ada juga anak-anak yang membesar dengan kejadian dera dan pengabaian menjadi seorang yang agresif, sangat ofensif, serta tidak boleh menerima pendapat orang lain.
Maka mereka ini akan selalu memberontak dan meronta-ronta untuk diberikan kebebasan. Bayangkan generasi yang dihasilkan akibat kelalaian ibu bapa dan penjaga menjalankan tanggungjawab.
Begitu juga dengan anak-anak yang telah ditinggalkan atau dibuang. Tidak mustahil mereka akan membesar dengan perasaan rendah diri dan malu kerana merasakan kelahiran mereka di dunia tidak dialu-alukan oleh ibu bapa mereka.
Anak-anak yang terhasil daripada perbuatan luar nikah tidak seharusnya dibuang dan diabaikan hanya kerana ingin menutup dosa dan khilaf ibu bapa. Anak-anak ini akan akhirnya akan menjadi seorang yang pendendam dan sensitif. Malah tidak mustahil juga api kebencian itu akan diwarisi zuriat seterusnya.
Elemen mendidik
Melihat kepada arus perubahan zaman, tidak dinafikan proses didikan kanak-kanak menjadi lebih mencabar. Ibu bapa dan penjaga diasak dengan tuntutan untuk meningkatkan taraf hidup keluarga. Mahu tidak mahu anak-anak terpaksa diserahkan kepada pembantu rumah atau kepada pusat jagaan.
Namun didikan bersama pembantu rumah atau di pusat asuhan tentulah tidak boleh menggantikan peranan ibu bapa. Malah ada yang berpendapat bahawa kesibukan mereka juga adalah untuk kepentingan anak-anak juga.
Terdapat juga kajian yang diterbitkan oleh Medical News Today pada Mac 2005 bahawa tiada perbezaan di antara perkembangan sosial dan kanak-kanak dalam tiga tahun pertama kehidupannya, di antara ibu yang meluangkan banyak masa bersamanya ataupun tidak.
Tetapi jangan dilupa, kanak-kanak adalah individu yang cepat belajar, peka dengan keadaan sekeliling serta sentiasa memerlukan rangsangan untuk mindanya berkembang secara sihat. Mereka cepat mengadaptasi keadaan diri mereka dalam kelompok lingkungan serta meniru perbuatan orang lain.
Oleh itu, perhubungan ibu bapa dan kanak-kanak adalah asas kepada perkembangan yang sihat. Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dalam The State of the World's Children 2001 turut menyatakan bahawa kasih sayang dan asuhan yang diterima oleh anak-anak dalam tahun pertama atau kekurangannya akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada minda yang muda ini.
Justeru, harta benda yang dicari untuk anak-anak harus diimbangi dengan perhatian dan didikan agama yang sempurna. Akan wujud kelompongan dalam diri anak-anak sekiranya tidak diasuh dan dibimbing dengan persekitaran agama. Ibu bapa juga wajar meningkatkan ilmu keibubapaan dari semasa ke semasa serta wajar menyediakan persekitaran yang membina, merangsang daya dan potensi kanak-kanak.
Tidak dinafikan juga peranan media dan masyarakat sekeliling juga membantu dalam proses pembesaran anak-anak iaitu dengan memberikan contoh ikutan yang baik serta menyajikan bahan-bahan yang berilmu dan bermoral.
Lambakan rancangan yang menonjolkan kanak-kanak sebagai penyanyi dan pelakon harus dipandang serius oleh pihak-pihak yang berwajib.
Tidak salah menonjolkan bakat mereka dalam bidang seni, tetapi untuk mendedahkan mereka ke alam seni yang penuh ranjau akan menyebabkan fokus dan perhatian kanak-kanak ini akan hilang.
Kesimpulan
Mendidik anak-anak bukanlah tugas sehari dua. Ia bermula sejak dalam kandungan sehinggalah ke akhir hayat. Kesinambungan zaman kanak-kanak yang memberangsangkan akan dapat dilihat apabila mencecah alam remaja dan dewasa.

PUKUL PILIHAN TERAKHIR

Harian Metro 9 Disember 2009
MENDIDIK anak perlu ada kemahiran tersendiri. Bukan semua ibu bapa mahir dalam mendidik anak dan bukan semua mereka faham erti kehidupan.Sebagai insan yang baru mengenal dunia, mereka tentu memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa yang memerlukan tahap kesabaran serta disiplin yang tinggi.
Nabi Muhammad s.a.w mendidik anak dan cucu baginda mengguna serta mengutamakan pendekatan lemah lembut dan penuh dengan kasih sayang.Panduan berikut mungkin dapat memberi bimbingan dalam mendidik anak:
Jika anak melakukan kesalahan, beritahu secara terus terang. Ada kalanya, ibu bapa hanya mencari salah anak tanpa menunjukkan cara yang betul.Ibu bapa atau guru harus memberikan maklum balas kepada setiap perbuatan anak sama ada betul atau salah. Jika perbuatan mereka betul, berikan dia 'pengukuhan positif' dalam bentuk pujian atau ganjaran. Jika salah, berikan 'pengukuhan negatif', seperti teguran atau hukuman.Jika ada anak yang berkata: "Apa yang saya buat selama ini, semuanya salah."Kata-katanya boleh direnung. Mungkin sebelum ini, kita tidak pernah mengiktiraf perbuatan anak yang betul sebaliknya, hanya menegur apabila perbuatannya salah.Jika mereka sentiasa ditegur kerana kerap melakukan kesalahan, anak juga mungkin cenderung untuk melakukan kesalahan.Memujuk dengan cara lemah lembut dan berhikmah atau kreatif.
Cara itu membuatkan anak berfikir walaupun akalnya tidak mampu membuat tanggapan lebih jauh, sekurang-kurangnya dia tahu membezakan antara yang betul dan sebaliknya.Menggunakan isyarat tertentu sebagai cara mengajar yang memberi kesan mendalam.Mencela keburukan perangai (bukan kekurangan diri untuk tujuan menghina dirinya) boleh menimbulkan rasa insaf anak.Memulau atau tidak mempedulikannya dalam jangka waktu tertentu antara cara mengajarnya supaya dia berfikir sejenak supaya dia belajar mengenai kesalahan diri.
Pilihan terakhir adalah memukul atau merotan. Tindakan ini diambil selepas kaedah di atas tidak berkesan. Menghukum dengan memukul atau merotan bukanlah sewenang-wenangnya, tetapi menggunakan kaedah sewajarnya.Jangan sekali-kali meninggalkan konsep 'mendidik'. Orang yang mengajar itu lebih baik daripada orang yang berkeras.Tanggungjawab mencorak masa depan anak memang tidak terletak di tangan ibu bapa semata-mata. Pengaruh luar sama ada positif atau negatif tetap memainkan peranan besar.Ada antaranya tidak dapat ditangani lalu memberi kesan buruk berpanjangan dalam kehidupan. Biar apapun alasan, orang dewasa yang sebenarnya lebih banyak menentukan sama ada anak itu hanya perlu dibelai atau mesti dipukul bagi memenuhi tanggungjawab atau mendisiplinkannya.Faktor kecerdikan emosi ibu bapa dan pendidik perlu diasah selalu kerana fitrah manusia berasa perlu dilindungi dan dikasihi untuk ketenangan akal fikiran dan jiwa.Demikian juga anak yang memerlukan keprihatinan orang dewasa dalam setiap kegiatan kehidupan. Oleh itu, ibu bapa atau guru perlu mengemas kini pengetahuan dalam mendidik dan memanfaatkan bidang ilmu terkini dalam pendidikan anak.
Anak perlukan contoh keperibadian untuk diikuti. Ibu bapa pula adalah peribadi terhampir dengan mereka yang boleh menampakkan usaha, kesusahan dan pencapaian kepada anak.Menghormati keperluan, kehendak dan perasaan anak adalah satu tanggungjawab. Namun, setiap kita mesti tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak.Keperluan mesti dipenuhi, namun kehendak tiada batasnya kerana kehendak lebih berasaskan kepada nafsu. Kehendak dan kerenah perlu diubah suai supaya boleh menjadi bimbingan.Anak perlu diterima seadanya tanpa syarat dengan segala kebaikan dan keburukan, kebolehan serta kekurangannya.
Ibu bapa juga mesti belajar menerima dan mengiktiraf perasaan dan pandangan anak walaupun ia bercanggah dengan pandangan mereka.Jangan sesekali terlalai untuk memberi pujian dan menghargai perlakuan baik anak kerana itu akan menjadi insentif nombor satu dan ingatan bermakna, meskipun tanpa hadiah yang dinilai dengan wang ringgit.Pasti ada kalanya anak melakukan kesilapan. Ambillah kesilapan sebagai pengajaran dan permulaan menuju kejayaan.Anak menunjukkan pelbagai ragam yang sebahagiannya menggugat kesabaran. Emosi negatif anak mesti ditangani dan dibelai dengan ilmu. Usaha berterusan perlu untuk menjauhkan mereka daripada terus terbawa-bawa tingkah laku demikian hingga besar dan mempengaruhi sikap mereka.
Kepincangan dalam perkembangan emosi boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan, terutama dari segi mental. Apabila mental mereka terjejas, ia tentu membantutkan perkembangan anak yang menjadi harapan ibu bapa untuk berjaya

Friday, December 4, 2009

IBU BAPA CEMERLANG

membantu anak-anak seronok ke sekolah
mendorong pengembangan intelektual, memberi motivasi untuk belajar dan berjaya di dalam peperiksaan.
menghalang anak-anak daripada perilaku anti-sosial, kenakalan, penagihan dadah dan alkohol.
melindungi anak-anak dari merasa bimbang, cemas, gangguan tabiat makan dan lain-lain tekanan psikologi.

Friday, November 20, 2009

punca kanak-kanak 'memberontak'

punca kanak-kanak 'memberontak'


Susunan FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN utusan malaysia
Meragam atau 'memberontak' adalah salah satu sifat semula jadi yang ada pada kanak-kanak namun ada kala sifat ini menimbulkan kerunsingan dan kemarahan orang sekeliling terutama ibu bapa sendiri.
Bagi mengawal tabiat tersebut ibu perlu menggunakan pendekatan terbaik dan bersesuaian dengan jiwa si kecil iaitu dengan mengenalpasti apa pencetus kepada sikap mereka itu.
Seorang pakar psikologi yang juga penulis buku No More Meltdowns, Jed Baker, menggariskan enam punca utama yang kenapa kanak-kanak meragam dan cara mengatasinya.
1. Isu biologi
Kebanyakan kanak-kanak bertukar menjadi cepat marah apabila mereka lapar atau letih. Cara penting mengelakkan situasi itu adalah dengan membekalkan makanan ringan digemarinya dalam perjalanan, sementara menunggu untuk makan di restoran.
Bagi mengelakkan kanak-kanak terlalu letih juga, pastikan mereka mendapat rehat mencukupi sebelum keluar rumah dan jangan terlalu lama berkunjung ke sesuatu tempat. Kanak-kanak akan lebih mudah bertolak ansur apabila di dalam jadual perjalanan yang diatur, mereka turut dibawa ke taman rekreasi.
2. Kekurangan aktiviti
Ketiadaan aktiviti yang boleh dibuat dalam tempoh masa lama juga menyumbang kepada sikap 'memberontak' kanak-kanak. Jika ibu bapa tidak menentukan sebarang aktiviti untuk anak-anak, mereka akan menciptanya sendiri yang akan mewujudkan ketidakpuasan ibu bapa. Sediakan bahan teka-teki, permainan, projek seni, buku, video dan aktiviti yang dapat mengurangkan ketegangan kanak-kanak menunggu.
3. Kehendak
Kebanyakan kanak-kanak akan berasa tertekan apabila diarah menyiapkan kerja rumah atau melakukan aktiviti baru. Bagi menangani perkara ini, anda perlu menjadikan arahan itu sebagai permainan untuk menimbulkan minat mereka seperti memberikan hadiah apabila mereka menyiapkan setiap tugasan.
Sekiranya kanak-kanak takut untuk mencuba sesuatu yang baru, jangan memaksa. Apa yang penting, bantu mereka menanganinya dengan meminta mereka melihat secara terperinci aktiviti berkenaan sebelum mencubanya secara perlahan.
4. Menunggu
Ada pula kanak-kanak yang akan 'memberontak' apabila tidak memperoleh apa diingini atau dilarang melakukan sesuatu perkara. Sebenarnya mudah untuk kanak-kanak bertolak-ansur berhubung perkara ini sekiranya mereka dapat melakukannya walau sebentar.
Jadi ibu bapa perlu membenarkan mereka meneruskan keinginan itu dengan syarat mengehadkan masa supaya mereka berhenti melakukan aktiviti dalam tempoh tertentu. Apabila kanak-kanak menentang untuk berhenti melakukan aktiviti digemari, pujuk mereka dengan cara terbaik seperti menjanjikan aiskrim jika mereka berhenti bermain di taman permainan dan mengikut anda pulang.
5. Bina semangat
Sesetengah kanak-kanak bersikap 'amat sempurna' dan 'tidak boleh menerima kekalahan' dalam segala tugasan seharian yang dilakukan. Anda perlu mengingatkan mereka bahawa anda sebenarnya mengagumi usaha yang dilakukan mereka walaupun hasil aktiviti yang dilakukannya tidak sempurna. Lebih baik, janjikan habuan jika mereka kalah sesuatu permainan bagi mengelakkannya merasa sedih atau rendah diri.
6. Melawan untuk perhatian
Bagi sesetengah kanak-kanak, sikap golongan dewasa yang tidak membenarkan mereka mengikuti aktiviti dilakukan akan membuatkan kanak-kanak merasa tersisih.
Kanak-kanak tidak akan meminta perhatian dalam keadaan yang tidak bersesuaian jika mereka memahami situasinya. Jika anda membawa kanak-kanak menemani anda bagi sebarang pertemuan atau tugasan penting, terangkan kepada mereka orang lain sama ada dewasa atau kanak-kanak tidak dibenarkan turut serta dalam perkara itu.

Sunday, November 1, 2009

PERANAN PENTING BAPA DI DALAM SEBUAH KELUARGA

  1. Luangkan masa untuk anak
  2. Belajar untuk menjadi bapa yang bijak
  3. Jadi model kepada hubungan sihat antara ahli keluarga
  4. Ambil berat peribadi anak
  5. Jadilah contoh kepada anak

LUANGKAN MASA UNTUK ANAK

Bila bapa boleh meluangkan masa untuk makan bersama anak-anak, ada masa berhibur dan bermain bersama-sama, menolong membuat kerja rumah, maka anak-anak bukan saja berjaya di dalam pelajaran tetapi juga dapat membina rasa selamat di dalam kehidupan mereka.

Oleh itu bapa mungkin boleh berkelah bersama anak, atau melihat video, atau bermain computer games bersama. Mereka boleh bermain bola, mengayuh basikal, atau main golf. Boleh juga membaca buku cerita bersama-sama. Memang ada banyak cara untuk menggunakan masa bersama-sama. Bukan semata-mata kehadiran bapa di dalam keluarga tetapi yang lebih penting adalah bagaimana menggunakan masa bersama itu secara berkesan. Mesej utama yang perlu disampaikan kepada anak adalah 'Abah suka bersama kamu'.

Bapa yang selalu bermesra dengan anak melalui aktiviti riadah, permainan, membaca dan membuat kerja rumah akan menjalin hubungan yang rapat berbanding dengan bapa yang tidak melakukannya.

Membaca dengan anak adalah alat yang sangat berkesan untuk menjalin hubungan antara bapa dan anak. Ianya juga adalah perkara penting yang menentukan kejayaan anak di dalam pelajaran. Bapa yang selalu mengadakan sesi membaca bersama anak sebenarnya telah memilih untuk menggunakan masa bersama anaknya. Banyak kanak-kanak memberi tahu bahawa ini adalah hadiah yang sangat berharga kepada mereka.

BELAJAR MENJADI BAPA BIJAK

Memang susah untuk menjadi bagus di dalam sesuatu perkara jika kita tidak belajar atau berlatih bersungguh-sungguh. Menjadi bapa yang baik tidak berlaku secara automatik. Sebenarnya bertindak secara automatik itulah yang menjadikan kita musuh kepada anak kita. Bapa hendaklah sentiasa ingat bahawa 'kuliah marah' lebih banyak mendatangkan kerosakan dan sakit hati dari memberi pengajaran. Jadi bagaimana kita mengawal tindakan kita semasa berdepan dengan anak bermasalah? Kita mestilah membaca buku mengenai bapa bijak. Bertanya kepada bapa lain yang telah berjaya mendidik anak mereka dengan berjaya. Kita belajar dari kesilapan. Menjadi bapa yang baik bermakna membesar bersama-sama dengan anak mengajar mereka menjadi individu yang baik dan berkebolehan. Anak kita akan memaafkan kita atas kelemahan kita bila mereka nampak kita telah buat bersungguh-sungguh mendidik mereka.

BAPA MODEL HUBUNGAN SIHAT

Kanak-kanak belajar perkara penting mengenai asas hubungan di rumah. Cara ibu bapa bercakap antara satu sama lain dan cara bercakap dengan anak-anak meletakkan asas penting kepada anak-anak mengenai konsep hubungan bagi mereka. Ibu bapa yang bercakap lemah lembut dan penuh sopan santun mengajar anak mereka berhubungan dengan orang lain secara sopan santun. Begitulah sebaliknya.

Saturday, October 17, 2009

Wednesday, September 2, 2009

KEMAHIRAN MENJADI BAPA

Ibu bapa adalah contoh di depan mata setiap hari untuk diikuti dan ditiru oleh anak-anak. Sebaik saja anak dilahirkan, dia belajar daripada ibu bapa. Dia belajar bila dia menangis dia akan dapat perhatian. Dia belajar jika dia jatuhkan cawan ada orang akan kutip dan lapkan airnya. Tindak balas yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membentuk tanggapan dan seterusnya tingkah laku sianak. Hubungan dua hala yang sentiasa berlaku di rumah menjadikan ibu bapa contoh tingkah laku terbaik kepada anak-anak!
Sebagai contoh, bapa yang mahu anaknya berambut pendek mestilah dia berambut pendek terlebih dahulu supaya boleh ditunjuk kepada kanak-kanak berkenaan. Paling cantik bapa minta anak guntingkan rambutnya dan kemudian dia gunting pula rambut sianak. Saling bergunting! Jika ini dapat dijadikan sebagai amalan keluarga mungkin tidak ada masalah lelaki rambut panjang di dalam keluarga.
Sebaliknya ayah yang berambut panjang akan membebankan guru disiplin di sekolah jika anaknya berambut panjang di sekolah. Mengapa dia berambut panjang? Besar kemungkinan anak itu akan keliru dengan contoh yang ditunjukkan oleh ayah di rumah dengan peraturan disiplin rambut kemas di sekolah.
Bapa yang menghantar anak ke sekolah agama perlu berlaku adil kepada anak. Di sekolah, anak terpaksa memakai songkok atau kopiah setiap hari kerana mengikut peraturan. Jadi bapa kenalah juga pakai di rumah. Kalaupun tidak sepanjang masa, sekurang-kurangnya masa anak ada di rumah. Di sekolah, anak terpaksa solat berjemaah. Jadi bapa kenalah juga ke masjid berjemaah. Kalaupun tidak setiap hari, sekurang-kurangnya bila anak ada di rumah. Begitulah juga dengan merokok. Kita boleh merokok. Boleh? Cuma janganlah tunjukkan kepada anak yang kita merokok.
Soalan : Mengapa pelajar dilarang merokok?
Di asrama kita ini, quran mp3 dipasang 24 jam. Anak telah terbiasa dengan bacaan quran. Oleh itu bapa kenalah memasang mp3 quran di rumah. Kalaupun tidak sepanjang masa, sekurang-kurangnya bila anak ada di rumah. Bagaimana jika di rumah yang dipasang mp3 lagu? Sepanjang masa? Lagu rock?
Bapa yang sentiasa keluar rumah dengan alasan untuk berjumpa kawan boleh ditiru oleh anak-anak untuk sentiasa keluar rumah. Apakah yang akan ditiru oleh anak seorang bapa yang sentiasa keluar malam dan balik jam dua atau tiga pagi? Jika anak ini dihantar ke asrama kemungkinan besar warden asrama menghadapi masalah mengawal anak itu dari mencuri keluar asrama waktu malam, hujung minggu dan sebagainya.
Sebaliknya bapa yang sentiasa berada di rumah akan diikut oleh anak-anak yang sentiasa berada di rumah. Bapa yang menanamkan prinsip jika tidak ke pejabat maka hendaklah berada di rumah akan mudah untuk diikut oleh anak yang jika tidak ke sekolah maka mestilah berada di rumah.
Di dalam hal bapa duduk di rumah satu perkara yang sangat senang dilakukan ialah dengan bersenang-senang di rumah. Baring atas sofa. Minum kopi. Baca akhbar. Layar internet. Tonton TV. Tidur dan macam-macam aktiviti yang menyenangkan hati bapa. Lebih cantik jika bapa boleh menolong kerja-kerja ibu di dapur dan mengemas rumah. Tetapi jika kerja-kerja ini akan menyebabkan bapa meronta-ronta hendak lari dari rumah, maka eloklah berehat sahaja. Anak cuma ingin bapanya ada di rumah. Dia akan lega jika bapa boleh nampak dek mata.
Soalan : Mengapa ada bapa yang resah duduk di rumah?
Soalan : Bagaimana kalau anak-anak seronok di pusat snooker atau cyber cafe? Apa kaedah yang sesuai untuk mengubahnya?